Ini sebabnya ekonomi berpotensi catat prestasi lebih baik berbanding unjuran

Timbalan Gabenor Bank Negara (BNM) Marzunisham Omar berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia masih berpotensi mencatatkan prestasi lebih baik berbanding unjuran semasa bergantung kepada tempoh konflik Asia Barat.

Menurutnya, penggunaan isi rumah dan sektor swasta akan terus menjadi tonggak utama pertumbuhan, disokong oleh prospek pendapatan yang positif serta pasaran buruh menggalakkan.

Dalam ucaptama pada program Ekonomi Malaysia dan Perbincangan Panel, beliau berkata bahawa perkara itu disokong oleh dasar bersasar kerajaan bagi membantu khususnya golongan yang mudah terjejas di negara ini, selain diperkukuh oleh prestasi dalam pertumbuhan pelaburan.

Beliau berkata, kedudukan luaran Malaysia berada dalam keadaan baik, dengan rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luar yang besar serta profil hutang luar yang menggalakkan.

Jelasnya dalam Ucapan BNM 2026 semalam, hampir 60 peratus daripada hutang negara adalah dalam kategori jangka sederhana dan panjang.

“Pasaran bon kita adalah kukuh dan mudah didagangkan, dengan asas pelabur yang pelbagai, disokong oleh aliran masuk daripada pelabur jangka panjang yang stabil,” katanya dalam program anjuan Persatuan Ekonomi Malaysia itu.

Lebihan akaun semasa

Marzunisham menambah bahawa Malaysia terus mencatatkan lebihan akaun semasa, yang mencerminkan kekuatan asas manakala kedudukan negara sebagai pengeksport tenaga bersih memberi sokongan tambahan dalam persekitaran harga tenaga yang tinggi.

Menyentuh isu berkaitan inflasi, beliau memaklumkan bahawa unjuran masih bergantung kepada tempoh dan tahap keseriusan konflik Asia Barat.

Dalam masa sama, ujarnya, BNM turut memantau rapat kenaikan kos serta sejauh mana kos itu dipindahkan kepada pengguna.

Katanya, beberapa faktor akan mempengaruhi tahap pemindahan kos, termasuk keadaan permintaan dan margin keuntungan perniagaan.

“Syarikat yang mempunyai margin tinggi mungkin lebih cenderung untuk menanggung kos yang tinggi manakala permintaan yang kukuh membolehkan pengguna untuk menyerap kenaikan harga.

“Berdasarkan pengalaman, pemindahan kos lazimnya tidak sepenuhnya,” kata Marzunisham lagi.

BACA JUGA ‘Abe Mat sedia bantu pertanian Kelantan, syaratnya kerjasama negeri’