Lagi negara bergelut krisis tenaga, harga LPG melambung, pekerja berbondong balik kampung

India menyaksikan golongan pekerja mula meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman masing-masing ekoran lonjakan harga dan kekurangan bekalan gas petroleum cecair (LPG).

Lapor Business Standard, pembantu rumah, penjaja jalanan dan pekerja sektor hospitaliti semakin ramai pulang ke kampung halaman masing-masing dari bandar-bandar besar memandangkan bekalan gas memasak semakin sukar diperoleh.

Menurut laporan portal berita itu memetik hasil tinjauan badan penyelidikan tempatan, lebih 40 peratus isi rumah mengalami kelewatan menerima tong LPG minggu lalu.

Kelewatan tersebut, jelasnya, turut memberi kesan besar kepada perniagaan dengan industri restoran sahaja berdepan kerugian sehingga ₹79,000 crore (kira-kira RM44 bilion) apabila beberapa rangkaian mengurangkan menu atau menutup sementara operasi akibat bekalan gas yang tidak menentu.

Konflik di Timur Tengah membabitkan Amerika Syarikat (AS) – Israel dan Iran yang kini memasuki minggu kelima itu dilihat mula mengganggu kehidupan harian golongan berpendapatan rendah di India.

Situasi semasa India, selaku pengimport LPG kedua terbesar di dunia, kini diburukkan lagi dengan kenaikan harga di pasaran gelap serta peluang pekerjaan yang semakin terhad.

Menurut golongan pekerja, kos gas memasak meningkat mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selain kesukaran mendapatkan bekalan yang sekali gus menghimpit belanjawan isi rumah.

Bagi kebanyakan pekerja yang bergantung kepada upah harian, kenaikan harga itu memaksa sebahagian daripada mereka mempertimbangkan semula keputusan untuk kekal di bandar besar.

Mereka semakin terhimpit lantaran pendapatan sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan drastik kos sara hidup.

BACA JUGA ‘Abe Mat sedia bantu pertanian Kelantan, syaratnya kerjasama negeri’