Mat Sabu jumpa duta Turkmenistan, sasar kerjasama pertanian pintar

Datuk Seri Mohamad Sabu  menerima kunjungan hormat Duta Turkmenistan ke Malaysia, Muhammetnyyaz Mashalov di Wisma Tani, Putrajaya, dengan pertemuan itu memfokuskan usaha memperluas kerjasama dalam sektor pertanian.

Menurut beliau, kerjasama dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan masih mempunyai potensi besar untuk diterokai, khususnya dalam meningkatkan perdagangan dan teknologi pertanian.

Setakat Disember 2025, nilai dagangan pertanian antara kedua-dua negara mencecah RM58.74 juta dan dilihat berpotensi untuk terus berkembang.

Antara perkara dibincangkan termasuk pengurusan air dan tanah secara mampan, selain penggunaan teknologi pertanian pintar seperti dron dan Internet Kebendaan (IoT).

Turut diberi perhatian ialah peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi meningkatkan produktiviti serta daya tahan sektor agromakanan.

Malaysia juga melihat ruang untuk memperluas eksport produk tempatan seperti kopi, koko, teh dan rempah ke pasaran Turkmenistan.

Dalam masa sama, kedua-dua pihak meneliti usaha mengukuhkan rantaian bekalan makanan sebagai langkah memperkasa sekuriti makanan.

Beliau turut menjemput Turkmenistan menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 sebagai platform memperluas kerjasama dan pelaburan dalam sektor pertanian.

“Insya-Allah, hubungan ini akan terus diperkasa demi sekuriti makanan dan manfaat bersama,” katanya yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.