Pegawai tertinggi tentera darat AS letak jawatan selepas desakan Setiausaha Pertahanan, lebih 12 pegawai sudah disingkir

Seorang pegawai tertinggi tentera darat Amerika Syarikat (AS) meletak jawatan selepas Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, dilaporkan meminta beliau bersara serta-merta.

Pentagon mengesahkan semalam bahawa Randy George, yang berkhidmat sebagai Ketua Staf Tentera Darat ke-41, akan bersara, lapor The Guardian.

“Jeneral Randy A. George akan bersara daripada jawatannya sebagai Ketua Staf Tentera Darat ke-41 berkuat kuasa serta-merta.

“Jabatan Pertahanan merakamkan penghargaan atas puluhan tahun perkhidmatan Jeneral George kepada negara.

“Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam persaraan,” kata jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell, dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial.

Jawatan Ketua Staf Tentera Darat lazimnya dipegang selama empat tahun.

George telah dicalonkan oleh Joe Biden dan disahkan oleh Senat pada 2023, yang sepatutnya membolehkan beliau kekal dalam jawatan itu sehingga 2027.

Sejak mengambil alih kepimpinan di Pentagon, Hegseth telah menyingkirkan lebih 12 pegawai kanan.

Antara yang digugurkan termasuk Timbalan Ketua Staf Tentera Udara, James Slife, dan Ketua Operasi Tentera Laut, Lisa Franchetti.

Penyingkiran George dilaporkan berpotensi menambah ketegangan antara Hegseth dan kepimpinan tentera darat.

Setiausaha Pertahanan itu turut dilanda pelbagai kontroversi, termasuk dakwaan jenayah perang di Caribbean serta laporan inspektor jeneral yang menuduh beliau salah mengendalikan risikan ketenteraan berklasifikasi.

BACA JUGA 17 individu sebar maklumat palsu harga minyak, tarif elektrik disiasat