Anwar seru generasi muda bangkit, bentuk masa depan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  menyeru generasi muda supaya berani bangkit, berfikir jauh dan bertindak dengan penuh tanggungjawab demi masa depan negara.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Himpunan Anak Pahang MADANI 2026 yang menghimpunkan golongan belia di negeri itu sebagai sebahagian usaha memperkukuh peranan generasi muda dalam pembangunan negara.

“Saya punyai keyakinan bahawa kekuatan negara terletak pada keberanian generasi muda untuk bangkit, berfikir jauh dan bertindak dengan penuh tanggungjawab dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut merakamkan tahniah kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sambil mengingatkan mereka agar tidak melupakan jasa ibu bapa dan guru.

Menurut beliau, penghargaan terhadap pengorbanan golongan tersebut mencerminkan nilai adab dan budi yang menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat MADANI.

“Dalam kita meraikan kejayaan ini, jangan sesekali lupa untuk menghargai jasa ibu bapa dan guru yang telah banyak berkorban. Inilah yang membezakan kita sebagai insan yang beradab dan berbudi,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif pembangunan komuniti bagi memastikan manfaat terus dirasai rakyat di peringkat akar umbi.

Antara yang diumumkan termasuk menaiktaraf gelanggang futsal di Kampung Bukit Bay Route serta pembinaan baharu dewan pembelajaran di Maahad Tahfiz Ribath Al-Mustofa.

Langkah itu, menurut Anwar, selari dengan pendekatan kerajaan dalam memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada projek besar, sebaliknya turut merangkumi keperluan komuniti setempat.

Beliau turut menzahirkan harapan agar anak-anak Pahang terus melangkah dengan berani, berpegang kepada nilai dan jati diri yang utuh, serta menjadi generasi yang mampu menyumbang kepada masa depan negeri dan negara.

Himpunan tersebut dilihat sebagai platform mendekati belia selain menyampaikan aspirasi kerajaan dalam memperkasa generasi muda di bawah kerangka Malaysia MADANI.