Dalam lima hari, MCMC turunkan 159 kandungan palsu
Sebanyak 159 kandungan palsu berkaitan isu semasa telah diturunkan dalam tempoh lima hari sejak 29 Mac lalu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, tindakan itu diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penularan pelbagai maklumat tidak sahih di media sosial, termasuk dakwaan kenaikan harga minyak dan isu kononnya Malaysia perlu membayar tol di Selat Hormuz.
Menurut Fahmi, penyebaran kandungan palsu berkenaan berlaku dalam tempoh singkat dan memerlukan respons segera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Dalam tempoh lima hari, sebanyak 159 kandungan dikenal pasti sebagai palsu dan telah diambil tindakan sama ada diturunkan atau dikesan pihak yang menyebarkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC 2026) PKR Wilayah Persekutuan, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan trend penyebaran maklumat palsu kini semakin kompleks apabila melibatkan coordinated inauthentic behaviour, iaitu kandungan dimulakan oleh bot atau akaun palsu sebelum dikongsi secara meluas oleh pengguna sebenar.
Katanya, situasi itu menunjukkan kepentingan semakan fakta sebelum sesuatu maklumat dikongsi kepada umum.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta segera melaporkan kandungan meragukan kepada pihak berkuasa.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memaklumkan seramai 17 individu disiasat berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan kenaikan harga bahan api dan tarif elektrik.
Daripada jumlah itu, lapan telah dipanggil untuk dirakam percakapan, manakala baki sembilan lagi masih dalam pemantauan lanjut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.