Izham seru rakyat bersedia hadapi ketidaktentuan ekonomi, kos hidup meningkat

FOTO BERITA: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri & Tahun Baru Cina bersama YB Ir. Izham Hashim ADUN Pandan Indah merangkap Exco Infrastruktur & Pertanian Selangor di Dewan MPAJ, Pandan Indah, Selangor. 3hb April 2026 (Jumaat)

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina anjuran Ir. Izham Hashim berlangsung meriah di Dewan MPAJ, Pandan Indah malam tadi dengan kehadiran ratusan penduduk setempat serta tetamu jemputan.

Dalam ucapannya, Izham berkata penganjuran bersama sambutan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina kali ini dibuat bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat, selain mengambil kira kedudukan perayaan yang berdekatan sebelum ini.

“Malam ini kita satukan sambutan untuk semua warga Pandan Indah. Walaupun Tahun Baharu Cina telah berlalu, kita tetap raikan bersama sebagai simbol perpaduan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan berjimat cermat dalam menghadapi ketidaktentuan global, termasuk kesan konflik di Timur Tengah dan kenaikan harga bahan api yang boleh memberi tekanan kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama pihak industri dan persekutuan telah mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti langkah-langkah proaktif dalam menghadapi kemungkinan krisis ekonomi yang lebih besar.

Majlis tersebut turut menyaksikan kehadiran melebihi jangkaan, dengan kos penganjuran meningkat daripada anggaran RM3,000 kepada lebih RM4,000. Sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dan warga emas serta cabutan bertuah turut mendapat sambutan hangat.

Mengulas isu cuaca panas semasa, Izham memaklumkan bahawa paras empangan di Selangor masih berada pada tahap stabil sekitar 80 peratus secara purata, hasil persediaan rapi sejak beberapa tahun lalu.

“Walaupun kita berdepan ramalan kemarau panjang, simpanan air kita masih mencukupi. Namun, kita perlu berjaga-jaga kerana cuaca panas boleh membawa risiko kesihatan seperti strok haba,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga memantau rapi paras air sungai dan taburan hujan di lebih 300 lokasi di seluruh Selangor bagi mengelakkan masalah pencemaran air serta memastikan bekalan air dan sektor pertanian terus terjamin.

Antara langkah mitigasi termasuk penggunaan kolam takungan luar sungai (off-river storage) serta kira-kira 185 kolam air yang dikenal pasti untuk membantu menstabilkan paras air sungai jika diperlukan.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan sebagai salah satu langkah tambahan sekiranya keadaan kemarau berpanjangan.

“Banyak aspek perlu dipantau secara berterusan. Keutamaan kita adalah memastikan bekalan air mencukupi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujarnya.
