Petronas nafi ‘mandi untung’ ketika harga minyak melonjak
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menegaskan lonjakan harga minyak global tidak semestinya membawa keuntungan luar biasa kepada syarikat itu, susulan peningkatan kos di seluruh rantaian nilai tenaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata persepsi bahawa Petronas “bermandikan keuntungan” apabila harga minyak mencecah sekitar USD120 setong adalah tidak tepat.
Menurutnya, walaupun sektor huluan mungkin mencatat peningkatan hasil, bahagian pertengahan dan hiliran turut berdepan kenaikan kos input termasuk pembelian minyak mentah, penapisan dan pemprosesan.
“Pada mata kasar, mungkin terdapat keuntungan di sektor huluan, tetapi di bahagian pertengahan dan hiliran, kos turut meningkat dengan ketara apabila harga tenaga naik,” katanya dalam program Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global di saluran TV1 RTM.
Beliau berkata, peningkatan kos tersebut perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia mengimbangi kesan kenaikan harga minyak terhadap prestasi kewangan keseluruhan kumpulan.
Dalam masa sama, Tengku Muhammad Taufik menegaskan Petronas terus menggalas tanggungjawab sebagai syarikat minyak nasional untuk memastikan keselamatan tenaga negara, bukan sekadar mengejar keuntungan.
“Bekalan tenaga yang stabil adalah asas kepada kegiatan ekonomi dan kehidupan harian. Ini adalah amanah yang perlu kami penuhi,” katanya.
Mengulas isu subsidi, beliau menjelaskan Petronas telah menyumbang kira-kira RM1.6 trilion kepada negara sejak penubuhannya pada 1974 melalui dividen, cukai, bayaran petroleum dan hasil eksport.
Katanya, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sahaja, syarikat itu menyumbang lebih 20 peratus kepada hasil kerajaan serta menyalurkan hampir separuh keuntungan selepas cukai sebagai dividen.
“Petronas tetap sebuah entiti komersial manakala mekanisme subsidi melibatkan pertimbangan lebih luas di peringkat kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, cabaran semasa turut melibatkan gangguan bekalan global yang meningkatkan kos import, pemprosesan dan logistik.
Tambahnya, Petronas telah melaksanakan pelbagai langkah dalaman bagi meningkatkan kecekapan operasi, termasuk mengurangkan perbelanjaan tidak kritikal, mengehadkan perjalanan serta memanfaatkan analitik data dalam perancangan penyelenggaraan dan logistik.
Langkah tersebut, katanya, penting bagi memastikan syarikat kekal berdaya tahan dalam persekitaran kos tinggi, di samping menjadi contoh kepada industri dalam pengurusan tenaga secara bertanggungjawab.