PM: Pendekar perlu berakhlak, berani tolak kecurangan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Kejohanan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 di Kuantan, sambil menyeru generasi muda menghayati nilai jati diri dan kepahlawanan dalam kehidupan.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi wahana pensejarahan yang menghidupkan kembali semangat kepahlawanan bangsa.

“Teruja tatkala menyaksikan semangat serta komitmen anak-anak muda yang tidak sekadar memartabatkan seni silat sebagai warisan leluhur, tetapi turut mempertunjukkan jati diri yang tidak mudah disanggah oleh arus zaman,” katanya.

Menurut Anwar, silat tidak harus dilihat semata-mata sebagai seni mempertahankan diri, tetapi sebagai lambang pembentukan disiplin, keberanian, tanggungjawab serta sikap hormat dalam kalangan pesilat.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, beliau menegaskan bahawa generasi pendekar yang ingin dibentuk bukan sahaja tangkas di gelanggang, tetapi juga memiliki akhlak yang teguh serta pendirian jelas dalam menolak kezaliman dan kecurangan.

“Ciri pendekar yang kita dambakan adalah generasi yang bukan sahaja cekap di gelanggang, tetapi juga berupaya menyemarak nilai dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa usaha berterusan para pesilat dan guru akan memastikan warisan seni silat terus subur dan berkembang pada masa depan.

Menurutnya, daripada gelanggang silat akan lahir generasi muda yang berjiwa kental, mencintai agama, bangsa dan negara, serta mampu memperkukuh perpaduan.

Kejohanan tersebut dilihat sebagai platform penting dalam memartabatkan seni warisan negara di samping membina sahsiah generasi muda yang berdaya tahan.

Anwar turut mengajak semua pihak untuk bersama memastikan warisan silat terus hidup dan berkembang sebagai lambang kekuatan bangsa.