Selangor teliti kawalan perbelanjaan, persiapan SUKMA dan bantuan usahawan terjejas

FOTO BERITA: Majlis Santunan Aidilfitri bersama YB Najwan Halimi EXCO Kerajaan Negeri Selangor & ADUN Kota Anggerik di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. 4hb April 2026 (Sabtu)

Kira-kira 5,000 hingga 6,000 pengunjung memeriahkan Majlis Santunan Aidilfitri bersama Najwan Halimi yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa hari ini.

Menurut Najwan, penganjuran majlis kali ini dilaksanakan secara kolaborasi bersama pelbagai agensi di bawah portfolio beliau termasuk Majlis Kandungan Selangor, Sekretariat SUKMA, Yayasan Hijrah Selangor serta beberapa agensi lain.

“Pendekatan ini selaras dengan saranan kerajaan Persekutuan untuk menjimatkan kos penganjuran dengan menggabungkan sumber dan pelaksanaan secara bersama antara jabatan serta agensi,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan acara sampingan iaitu penyerahan insentif kecemerlangan kepada kira-kira 30 atlet negeri Selangor yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setiap atlet menerima insentif kewangan sebanyak RM500 sehingga RM1,000 sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka mengimbangi prestasi akademik dan sukan.

Najwan berkata, pengiktirafan itu penting bagi memberi motivasi kepada atlet muda agar terus cemerlang dalam kedua-dua bidang.

Mengulas perkembangan semasa, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang meneliti langkah kawalan perbelanjaan susulan ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor baru-baru ini, yang antara lain memberi tumpuan kepada penilaian semula program serta keutamaan perbelanjaan negeri.

Selain itu, persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) turut dibincangkan, termasuk aspek kos dan keperluan semasa, dengan sebarang keputusan lanjut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa tertinggi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Kerajaan negeri juga sedang mengumpul data bagi mengenal pasti segmen usahawan yang berpotensi terjejas akibat peningkatan kos operasi, khususnya melibatkan bahan api, sebelum merangka bentuk bantuan bersasar.