Walau ekonomi mencabar, Gaza tidak akan dilupakan- Anwar

Malaysia akan tetap meneruskan penghantaran Misi Kemanusiaan 30 Kontena ke Gaza meskipun berdepan tekanan ekonomi susulan krisis di Asia Barat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata bantuan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang berdepan kebuluran dan krisis kemanusiaan.

Menurutnya, usaha tersebut memerlukan langkah diplomatik termasuk menghubungi Abdel Fattah el-Sisi bagi membuka laluan ke Rafah.

“Ada yang kata saya hanya telefon, tetapi tanpa usaha itu laluan tidak akan dibuka untuk 30 kontena bantuan,” katanya ketika berucap pada satu majlis di Tambun, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa dalam keadaan ekonomi mencabar sekali pun, Malaysia tidak harus melupakan penderitaan rakyat di Gaza.

“Orang sana kebuluran, dalam kita susah pun kita bantu yang lebih susah. Ini soal kemanusiaan,” katanya.

Semalam dilaporkan Amirudin Shari akan mengetuai misi berkenaan bagi pihak kerajaan, termasuk penyertaan dalam delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Misi itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan melibatkan kira-kira 374 tan bantuan berupa makanan serta ubat-ubatan.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan mengambil pendekatan berjimat cermat dalam menghadapi kesan krisis global terhadap ekonomi negara.

Beliau turut mengulangi bahawa beliau tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri dan Ahli Parlimen sejak tiga tahun lalu sebagai tanda komitmen terhadap pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu adalah pilihan peribadi dan tidak perlu diikuti pemimpin lain selagi mereka tidak terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa.