Ekonomi dunia gawat, pilihan raya sabar sekejap – Anwar

Ketidaktentuan ekonomi global dan konflik di Asia Barat menjadi antara faktor utama yang mendorong kerajaan menangguhkan sebarang pertimbangan untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan ekonomi negara, bukannya terjebak dalam pertarungan politik.

“Ini realiti ekonomi. Ini bukan soal pertarungan politik. Saya tidak akan mengadakan pilihan raya satu dua bulan ini. Sabar sekejap. Esok masa pilihan raya nanti, bertempurlah,” katanya ketika berucap pada Program MADANI Rakyat 2026 di Perak, hari ini.

Kenyataan itu dilihat menjawab spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum Malaysia ke-16 mungkin diadakan dalam masa terdekat susulan perkembangan semasa politik dan ekonomi negara.

Dalam ucapannya, Anwar turut meluahkan rasa kecewa terhadap pihak yang menurutnya terus menyerang kerajaan walaupun negara sedang berdepan cabaran ekonomi global.

Menurutnya, banyak negara kini terpaksa mengambil langkah drastik termasuk menaikkan harga minyak dan mencatu bekalan, berbeza dengan Malaysia yang masih mampu mengekalkan harga petrol pada paras RM1.99 seliter.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan kerajaan masih berupaya mengurus tekanan ekonomi dengan baik demi menjaga kebajikan rakyat.

“Perdana Menteri dimaki hamun itu saya tidak kisah, kerana saya tumpukan kerja. Tetapi jangan ganggu gunakan kebebasan untuk mencipta perkara yang tidak benar,” katanya lagi.

Sejak kebelakangan ini, isu kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global menjadi antara cabaran utama yang dihadapi kerajaan, sekali gus menuntut fokus berterusan terhadap pengurusan ekonomi negara.