FGV kini uji biodiesel B100 pada SUV, diesel 100% minyak sawit hampir jadi realiti?
FGV Biotechnologies iaitu anak syarikat gergasi industri sawit tempatan, Felda Global Ventures (FGV) kini dalam proses uji kaji menggunakan Biodiesel B100 iaitu bahan api diesel yang diperbuat dari 100% minyak kelapa sawit, untuk digunakan kepada kenderaan.
Menurut syarikat itu, usaha memperkenalkan bahan api ini bukan sekadar satu langkah ke hadapan dalam penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit, bahkan sebagai usaha signifikan dalam menyokong pekebun kecil dan memperkasa industri minyak sawit tempatan.
Buat masa sekarang, biodiesel yang ditawarkan masih lagi B10 iaitu campuran 10 peratus minyak sawit, manakala pengenalan untuk penggunaan biodiesel B20 telah beberapa kali ditangguhkan.
Mengenai Biodiesel B100, ujian yang dibuat adalah selama setahun terhadap kenderaan penumpang biasa iaitu sebuah Mazda CX-8.
CX-8 mewakili model dengan enjin diesel paling moden ditawarkan dalam pasaran, dipadankan dengan enjin 2.2 liter Skyactiv-D berkuasa 188 PS dan tork maksima 450 Nm.
“Dengan pelaksanaan B100, kita dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam penggunaan bahan api lestari. Ia sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi negara dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam perkongsian di sosial media rasminya baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang sama, FGV menjelaskan bahawa syarikat itu telah pun menjalankan ujian perintis penggunaan B100 selama empat bulan ke atas lori tangki.
“Kini kami meneruskan ujian selama setahun untuk menilai kecekapan dan prestasi B100 dalam kenderaan SUV,” tambahnya
Ini bukan kali pertama bahan api biodiesel B100 ini diuji di Malaysia.
Pada 2023, Shell telah melancarkan ujian perintis biodiesel B100 terhadap lori-lori tangki Scania yang dioperasikan oleh Konsortium Port Dickson.
FAME (asid lemak metil ester) merupakan istilah kimia generik untuk biodiesel yang dihasilkan dari sumber yang boleh diperbahrui, dan semua trak Scania sudahpun boleh menggunakan bahan api FAME sehingga B100 sejak 2019.
Penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit ini memberikan kelebihan kepada negara-negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia dan Indonesia, di mana ia bukan sahaja boleh mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api diesel serta pemberian subsidi, tetapi pada masa sama meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) juga sebelum ini sudahpun mensasarkan untuk Malaysia agar beralih kepada biodiesel B30 menjelang 2030.
BACA JUGA Anthony Loke arah audit segera, siasat syarikat treler selepas nahas ragut tiga nyawa