Jamuan Aidilfitri jadi platform dekati rakyat, dengar suara akar umbi

FOTO BERITA: Majlis Jamuan Rakyat Sempena Aidilfitri 2026 bersama YB Haji Azli Yusof Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Danial Al Rashid Haron ADUN Batu Tiga di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. 5hb April 2026 (Ahad)

Kira-kira 5,000 hingga 6,000 pengunjung membanjiri Majlis Jamuan Rakyat sempena Aidilfitri 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19, di sini hari ini.

Majlis anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga itu dihadiri Azli Yusof dan Danial Al Rashid Haron yang meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk setempat.

Program tahunan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri itu diadakan sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain mengukuhkan semangat silaturahim dalam kalangan warga setempat.

Menurut Azli, penganjuran majlis tersebut merupakan kesinambungan tradisi tahunan bagi mendekati rakyat, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana Aidilfitri.

“Program ini adalah hasil kerjasama antara kedua-dua pusat khidmat dalam usaha menyantuni masyarakat, selari dengan seruan kepimpinan negara agar berbelanja secara berhemah. Kita tetap adakan jamuan ini secara sederhana tanpa bermewah-mewah,” katanya

Beliau berkata, majlis seumpama ini juga menjadi platform penting untuk bertemu rakyat yang tidak sempat disantuni sepanjang bulan Ramadan lalu, selain mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka.

Dalam pada itu, Azli turut menyentuh kesan konflik di Timur Tengah terhadap ekonomi rakyat, khususnya dari segi kenaikan harga minyak dan barangan.

“Walaupun harga RON95 masih dikekalkan pada kadar RM1.99, kita perlu bersedia menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup pada masa hadapan. Justeru, amalan berbelanja secara berhemah perlu dipupuk dari sekarang,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak Parlimen Shah Alam bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan, termasuk bantuan asas dan keperluan mendesak.

Sementara itu, Danial berkata sambutan luar jangka daripada orang ramai mencerminkan keakraban hubungan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi..

“Kita jangkakan kehadiran sekitar 5,000 hingga 6,000 orang. Seawal jam 5 petang, makanan sudah hampir habis walaupun persiapan dibuat sehingga jam 6 petang. Ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan meneliti semula perancangan program di kawasan Batu Tiga susulan arahan kerajaan negeri agar memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

“Kita mungkin akan menangguhkan program seperti karnival atau sukan, dan memberi fokus kepada membantu rakyat yang benar-benar terkesan dengan keadaan semasa,” jelasnya.

Majlis tersebut bukan sahaja menghidangkan pelbagai juadah Aidilfitri, malah menjadi medan memperkukuh ukhuwah serta mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.