KPDN akan bincang dengan MOF percepat bayaran modal pengusaha stesen minyak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berbincang dengan Kementerian Kewangan supaya pembayaran balik modal kepada stesen-stesen minyak dapat dibuat segera.

Ia susulan aduan daripada pengusaha stesen minyak yang terpaksa menggunakan modal sendiri untuk membeli diesel dengan harga tinggi ketika ini.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi membincangkan strategi sesuai menangani masalah berkenaan termasuk membolehkan pembayaran balik dibuat dengan kadar segera.

“Kita faham mereka terpaksa mengeluarkan modal untuk tampung pembelian awal, namun kena tahu syarikat minyak juga kini terbeban,” kata Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali seperti dilapor BH.

Semalam media melaporkan, pengusaha stesen minyak terpaksa menjadi ‘pembiaya tidak rasmi’ kepada agihan subsidi bersasar diesel.

Ia kerana mereka terpaksa mengeluarkan modal pendahuluan untuk membeli bekalan bahan bakar itu.

Situasi itu disifatkan tidak adil kepada mereka, di mana realitinya pengusaha secara efektif mendahulukan pembiayaan subsidi menggunakan modal sendiri.

BACA JUGA Dakwaan biskut Hup Seng tak halal tidak benar, sebenarnya libatkan syarikat lain