Sambutan Aidil Fitri DUN Taman Templer meriah, kerajaan negeri komited pelihara kesejahteraan rakyat

FOTO BERITA: Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Taman Templer 2026 bersama YB Anfaal Saari ADUN Taman Templer merangkap EXCO EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat. Turut hadir YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari Menteri Besar Selangor, Tuan Hj Ahmad Zahiri Zahid Sofian Ketua AMANAH Selayang di Dataran Ilmu, Bandar, Baru Selayang, Selangor. 4hb April 2026 (Sabtu)

Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan penduduk setempat di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, di sini.

Dalam suasana penuh muhibah sempena Aidilfitri, Amiruddin ketika berucap menekankan kepentingan perpaduan dan kesiapsiagaan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa, khususnya ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup.

Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang giat merangka langkah proaktif bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara meskipun berdepan tekanan luar.

“Kerajaan negeri telah memulakan perbincangan awal dan akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menilai situasi semasa serta mengemukakan cadangan terbaik. Insya-Allah dalam tempoh dua minggu, beberapa langkah konkrit akan diumumkan,” katanya.

Tambah beliau, usaha tersebut adalah bagi melengkapkan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan, selain memastikan golongan rentan dan mereka yang terkesan menerima bantuan sewajarnya dengan segera.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa rakyat perlu bersedia menghadapi kemungkinan langkah penjimatan yang mungkin dilaksanakan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

“Walaupun cabaran seperti pandemik dan bencana banjir pernah kita tempuhi sebelum ini, saya yakin rakyat Selangor mempunyai keupayaan untuk terus beradaptasi dan bangkit bersama,” ujarnya lagi.

Sementara itu menurut Anfaal, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila orang ramai mula hadir seawal jam 6.30 petang untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah.

“Majlis ini bukan sahaja untuk kita menjamu selera, tetapi menjadi ruang untuk kita menyampaikan maklumat mengenai inisiatif dan dasar kerajaan negeri kepada rakyat, khususnya di Taman Templer,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa termasuk ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global.

“Dalam situasi ini, kita perlu bersolidariti sebagai satu komuniti. Selangor sebagai enjin ekonomi negara perlu bersedia menghadapi tekanan dengan meneroka sumber ekonomi dan tenaga baharu,” ujarnya.

Tambah beliau, penglibatan komuniti turut diperkasakan apabila setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diberi peluang mengendalikan gerai makanan masing-masing, sekali gus memupuk semangat kepimpinan akar umbi.

Tambah beliau, penglibatan komuniti turut diperkasakan apabila setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diberi peluang mengendalikan gerai makanan masing-masing, sekali gus memupuk semangat kepimpinan akar umbi.

Antara juadah yang disediakan termasuk lemang, rendang, nasi impit, kuah kacang istimewa, selain pelbagai hidangan seperti bihun sup dan aneka makanan ala pasar malam.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti penyediaan ‘photo booth’ serta pemberian sumbangan termasuk kain tajaan kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, Anfaal turut mengingatkan masyarakat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Dalam pada itu, Anfaal turut mengingatkan masyarakat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

“Ibu-ibu sebagai tonggak keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan perancangan kewangan dibuat dengan baik, termasuk menyediakan simpanan bagi menghadapi waktu kecemasan,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Perbandaran Selayang merangkap Ketua Amanah Kawasan Selayang, Tuan Haji Zahiri dalam ucapannya berkata demikian penganjuran majlis tersebut merupakan tanda kasih dan penghargaan kepada seluruh warga DUN Taman Templer. “Jamuan ini kita adakan sebagai tanda kasih sayang, tanda terima kasih dan untuk mengeratkan silaturahim sesama kita sebagai satu keluarga besar di Taman Templer,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang hadir sejak awal petang, sekali gus memeriahkan suasana majlis.

Menurutnya, kehadiran Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amiruddin Shari yang meluangkan masa walaupun mempunyai jadual padat turut menambah seri kepada majlis tersebut. “Sambutan pada malam ini amat memberangsangkan. Kehadiran pemimpin dan masyarakat menunjukkan semangat kebersamaan yang kuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahiri menekankan kepentingan memastikan setiap pengunjung menikmati juadah yang disediakan dengan sempurna. “Kita sediakan pelbagai makanan seperti sate, aneka sup dan hidangan lain. Saya harap semua yang hadir dapat makan secukupnya dan pulang dengan rasa gembira,” katanya.

Majlis tersebut mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai lapisan yang bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah.