Karam Singh Walia meninggal dunia
Wartawan alam sekitar terkenal, Datuk Karam Singh Walia, 67, meninggal dunia jam 3.30 pagi tadi di kediamannya di Klang, Selangor.
Lapor BH, perkara itu dimaklumkan oleh adik mendiang yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Jasbant Singh.
Mendiang yang terkenal dengan penyampaian berita yang diakhiri peribahasa menarik itu bersara dari stesen televisyen TV3 pada 2014.
Beliau memenangi pelbagai anugerah kewartawanan atas pelbagai laporan eksklusif mengenai isu-isu alam sekitar dan kemasyarakatan sejak berkhidmat sebagai wartawan penyiaran dari tahun 1995.
Karam Singh dilapor memiliki sebuah buku yang mengandungi lebih 4,000 peribahasa Melayu yang sering dibawa ke mana-mana sahaja sebagai rujukan.
Bekas guru sekolah menengah dan pensyarah university itu telah memenangi empat kali anugerah Malaysia Press Institute “Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik” pada 2004, 2005, 2006 dan 2007 dan dua kali “Anugerah Seri Angkasa”.
Beliau juga telah dikurniakan dengan anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ oleh Sultan Pahang pada 2011.
BACA JUGA 4 pesawat tentera AS jatuh ditembak, sistem pertahanan Iran tidak selemah seperti dianggap Trump