Konvoi motor cerminan kegagalan PN tetap keutamaan

Acara konvoi bermotosikal Perikatan Nasional (PN) kelmarin mencerminkan kegagalan menetapkan keutamaan yang membimbangkan.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan konvoi sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 itu sebagai pembaziran besar-besaran.

Beliau menegaskan kerajaan di seluruh dunia sedang bertindak segera menangani krisis bahan api dengan menjimatkan penggunaan, membina simpanan dan mempersiapkan ekonomi masing-masing menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan.

“Namun, dalam negara kita menyaksikan konvoi motosikal melibatkan ribuan peserta – satu demonstrasi yang jelas menggalakkan penggunaan bahan api secara berlebihan dalam satu acara.

“Ini bukan sekadar tidak peka. Ia mencerminkan kegagalan menetapkan keutamaan yang membimbangkan,” katanya, dipetik FMT.

Nurul Izzah Anwar

Pada 4 April lalu, pembangkang mendakwa “ribuan anak muda turun bersama” menyertai Konvoi SG4 menuju ke tapak Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kuala Terengganu.

Menteri Besar dari empat negeri yang ditadbir pembangkang, iaitu Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan turut terlibat dalam konvoi tersebut ketika Kerajaan Persekutuan menyeru rakyat agar berjimat ketika krisis tenaga akibat perang di Asia Barat masih berterusan.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi PN dan Menteri Besar Terengganu sepatutnya lebih tahu dan tidak menganjurkan acara sedemikian.

“Ketika rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup dan kerajaan menanggung beban kewangan melalui subsidi, tindakan seperti ini memberi isyarat yang salah – seolah-olah berjimat cermat itu pilihan dan tanggungjawab itu terpilih,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Kerajaan teliti penambahbaikan subsidi nelayan, kebajikan jadi keutamaan