‘Memalukan dan bahayakan nyawa’, Anthony Loke arah gempur Lapangan Terbang Kota Bharu
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, meluahkan rasa kesal dan marah terhadap tindakan sekumpulan “mat rempit” yang menjadikan kawasan hadapan terminal baharu Lapangan Terbang Kota Bharu sebagai lokasi aksi berbahaya.
Dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi, beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang bukan sahaja menyedihkan, malah “sangat memalukan”.
“Berita ini bukan sahaja menyedihkan tetapi sangat memalukan,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan telah membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaiktaraf lapangan terbang tersebut.
Menurutnya, pelaburan besar itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan udara di Kelantan, merangsang pembangunan sosioekonomi, serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri berkenaan.
Namun, tindakan tidak bertanggungjawab kumpulan penunggan motosikal terbabit dilihat mencemarkan imej serta menjejaskan usaha pembangunan yang sedang diusahakan kerajaan.
Dalam masa sama, Loke turut menegaskan bahawa aktiviti merempit di kawasan awam seperti lapangan terbang bukan sahaja mengganggu ketenteraman, malah mengundang risiko besar kepada keselamatan pengguna.
“Kelakuan golongan mat rempit ini membahayakan nyawa orang ramai malah boleh dikatakan sebagai tindakan sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan tersebut.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana mana individu yang didapati melakukan kesalahan.
“Sesiapa yang berani merempit di depan airport akan disita terus motosikal mereka,” tegas Ahli Parlimen Seremban itu lagi..
Dalam masa sama, beliau turut meminta pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk memperketatkan kawalan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal bagi mengekang kejadian serupa daripada berulang.
Langkah itu dilihat sebagai pendekatan dua hala iaitu penguatkuasaan tegas oleh pihak berkuasa serta penambahbaikan sistem keselamatan oleh pengurusan lapangan terbang bagi memastikan keselamatan awam terus terjamin dan imej negara tidak tercalar.
BACA JUGA Tiada kuasa baru ingat penyatuan Melayu, dah ada kuasa semua ke ‘laut’