Pas kalah saman lagi, mengaku salah fitnah Fahmi Fadzil beri ucapan politik di masjid

Pas nampaknya terus mencatatkan rekod kalah saman fitnah, bukan sekali, tetapi berulang kali melibatkan pemimpin dan ahli parti mereka.

Terbaru, bekas calon Pas di N13 Kuang, Mohd Fauzan Madzlan didapati bersalah kerana memfitnah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, kononnya menteri telah menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor pada 2023.

Peguam Fahri Azzat yang mewakili Fahmi, memaklumkan kepada Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan saman fitnah tersebut secara baik.

Dalam perintah penghakiman hari ini, defendan bersetuju untuk melakukan dua perkara iaitu mengakui bahawa ucapan Fahmi pada waktu itu bukan kempen politik dan bukan ucapan berbaur politik.

Kedua, menyatakan rasa kesal terhadap sebarang salah faham yang timbul akibat kenyataan yang dikeluarkan di Facebook “N13 Kuang”, yang menjadi subjek kes ini. 

“Defendan dengan seikhlas hati menyatakan bahawa ucapan Fahmi di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, tiga tahun lalu semasa tempoh Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15, bukan satu kempen politik ataupun ucapan berbaur politik,” kata seorang lagi peguam Fahmi, Asheeq Ali Sethi Alivi dalam sidang media hari ini

Sementara itu memetik Bernama, Fahmi juga memfailkan saman terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai “Papagomo” berhubung isu sama.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 5 Sept 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.

Beliau berkata kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.