20 premis e-waste haram diserbu
Sebanyak 20 premis yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram diserbu dalam satu operasi bersepadu berskala besar melibatkan beberapa negeri, sekali gus mendedahkan rangkaian aktiviti yang dipercayai beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Operasi dikenali sebagai Op Hazard Mega 3.0 itu menyasarkan premis di Kedah, Pulau Pinang dan Perak, dengan tumpuan utama di Kampung Kepayang, Ipoh, yang dipercayai beroperasi sejak empat tahun lalu.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste tanpa kelulusan, termasuk mengimport bahan mentah dari luar negara sebelum dihancurkan dan diasingkan untuk dihantar ke kilang lain.
“Dalam serbuan di lokasi ini, seramai 26 individu ditahan membabitkan 13 warga tempatan, empat warga Kemboja dan sembilan warga India berusia antara 18 hingga 49 tahun,” katanya dalam sidang media.
Menurutnya, pihak berkuasa turut merampas kira-kira 225,000 kilogram longgokan e-waste, 800 jumbo beg sisa elektronik, pelbagai jentera pemprosesan serta sebuah tangki diesel berisi anggaran 20,000 liter.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM18 juta.
Kes tersebut kini diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan.
Dalam masa sama, warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki permit sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Selain itu, kesalahan beroperasi tanpa lesen akan dirujuk kepada Majlis Bandaraya Ipoh untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Operasi itu melibatkan seramai 249 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia serta Tenaga Nasional Berhad.
Hasil pemeriksaan mendapati semua premis terlibat menjalankan aktiviti berkaitan e-waste tanpa kelulusan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap pemantauan dan penguatkuasaan terhadap industri yang berisiko tinggi kepada alam sekitar itu.
Isu pengurusan e-waste sebelum ini sering dikaitkan dengan pencemaran toksik dan risiko kesihatan, khususnya apabila operasi dijalankan secara tidak terkawal dan di luar piawaian keselamatan.