Bekalan diesel nelayan stabil, subsidi kekal — LKIM
Bekalan diesel untuk nelayan di seluruh negara berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang gangguan, dengan mekanisme subsidi kerajaan terus dikekalkan bagi memastikan kelangsungan operasi sektor perikanan, kata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil berkata setakat ini tiada isu kekurangan bekalan diesel dalam kalangan nelayan, meskipun terdapat beberapa rungutan berkaitan permintaan tambahan kuota bahan api.
“Tiada gangguan bekalan, minyak ada dan subsidi kekal seperti sebelum ini. Apa yang timbul hanyalah permintaan tambahan kuota dan perkara itu sedang diteliti kerana melibatkan implikasi kos kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Pulau Pinang di Teluk Kumbar, yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Menurutnya, kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit setiap tahun bagi menampung subsidi bahan api nelayan, dengan harga diesel bersubsidi jauh lebih rendah berbanding harga pasaran runcit.
Muhammad Faiz berkata kira-kira 70 juta liter diesel diperuntukkan setiap bulan untuk kegunaan lebih 40,000 vesel nelayan di seluruh negara melibatkan Zon A, B dan C.
Katanya, subsidi itu diberikan berdasarkan prinsip membantu golongan sasar dan bukan untuk menampung keseluruhan kos operasi nelayan.
“Nelayan tidak membeli diesel pada harga pasaran, sebaliknya pada kadar subsidi sekitar RM1.65 seliter, manakala penggunaan petrol pula sekitar RM1.56 seliter,” katanya.
Mengulas dakwaan gangguan bekalan sehingga menyebabkan ada nelayan tidak turun ke laut, beliau menegaskan bekalan ikan negara masih mencukupi kerana negara kini berada dalam musim tangkapan tinggi.
Malaysia, katanya, mencatat kadar sara diri (SSR) ikan sekitar 90 peratus, dengan hanya sekitar 10 peratus import bagi menampung permintaan domestik.
Dalam pada itu, LKIM sedang meneliti penambahbaikan mekanisme agihan subsidi termasuk mempertimbangkan keperluan nelayan laut dalam Zon C2 yang sebelum ini tidak menerima bantuan sama.