Ketirisan subsidi: Task force baharu digerakkan di Borneo, Labuan

Kerajaan bersetuju menubuhkan pasukan khas Task Force Ops Tiris 4.0 bersepadu di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap ketirisan dan penyeludupan barang kawalan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pasukan itu akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan penyelarasan lebih berkesan di peringkat negeri.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri akan bertindak sebagai sekretariat kepada pasukan khas berkenaan, dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“KPDN negeri akan menjadi sekretariat kepada kedua-dua pasukan khas ini yang akan turut melibatkan agensi peringkat negeri,” katanya pada taklimat harian krisis tenaga global.

Tambah beliau, pelaksanaan itu turut melibatkan perluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melalui penggunaan fleet card untuk sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.

Fadillah berkata mesyuarat turut menetapkan agensi peneraju bagi tiga sektor utama iaitu sektor darat diketuai KPDN, sempadan oleh Polis Diraja Malaysia, manakala sektor perairan diterajui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang dilaksanakan dari 16 Mac hingga 5 April lalu merekodkan 8,148 pemeriksaan dengan 155 kes penyelewengan barang kawalan dikesan.

“Daripada jumlah itu, 60 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM2.1 juta, diikuti 47 kes petrol RON95 bernilai RM51,299,” katanya.

Selain itu, sebanyak 21 kes melibatkan gas petroleum cecair (LPG) dengan rampasan RM37,822 direkodkan, manakala 27 kes lagi membabitkan minyak masak, gula dan tepung gandum.

Menurutnya, langkah bersepadu itu diambil susulan pengaktifan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan, di samping memastikan kestabilan bekalan tenaga negara terus terjamin dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik global