Menjelang PRN Johor: Umno lebih selesa solo, mahu pertahan 40 DUN?

Dua pemimpin UMNO Johor mendakwa parti itu lebih cenderung bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mereka yang enggan dinamakan juga berkata, UMNO negeri turut berhasrat menawan 40 kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

Memetik FMT, seorang daripada mereka berkata, UMNO Johor setakat ini belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana gabungan luar dari BN.

Menurutnya, parti itu tetap mahu mengekalkan status quo dengan bertanding di 40 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN sekiranya berlaku kerjasama dengan gabungan lain termasuk Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin berkenaan juga dilapor berkata, Umno-BN lebih selesa bergerak solo di Johor dalam PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya April 2027 itu tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan pusat untuk membuat keputusan.

Pendirian yang senada juga disuarakan seorang lagi pemimpin yang menegaskan mereka berpegang kepada prinsip ‘incumbency’ iaitu kekal kerusi penyandang.

“Tapi, buat masa ini fokus kami kepada kebajikan rakyat dan pentadbiran di Johor, terutamanya dalam mendepani krisis global.

“Soal pilihan raya, bila sampai masa kita bincanglah secara serius,” katanya, lapor FMT lagi.

Sebelum ini, PKR Johor terbuka mengadakan rundingan bersama UMNO, dengan sayap Pemuda negeri mengalu-alukan langkah itu bagi mendepani PRN akan datang.

Pada 5 April lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Konvensyen PKR Johor mahu berunding termasuk dengan Umno bagi menghadapi PRN dengan mengambil kira kekuatan sokongan dimiliki parti itu di peringkat Parlimen.

Gesaan supaya BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Johor dan Melaka juga lebih awal disuarakan AMANAH.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad pada Januari lalu berkata, keputusan pucuk pimpinan parti komponen PH itu bergantung kepada pendirian UMNO dan BN.

Beliau berkata, agihan kerusi itu selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan PH.

Justeru, katanya, jika rundingan gagal mencapai persetujuan, AMANAH tidak menolak kemungkinan kekal menyokong pendekatan sedia ada atau menguji sokongan rakyat melalui pertandingan tiga penjuru.

Pada masa ini, BN membentuk kerajaan negeri dengan menguasai 40 daripada 56 DUN.

Sementara itu, PH pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan AMANAH masing-masing satu.

Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi DUN, manakala Muda satu kerusi.

BACA JUGA Mana ada permohonan tambahan BUDI95, had 200 liter kekal