Pakar ramal Iran jadi kuasa baharu dunia

Konflik bersenjata di Asia Barat dilihat sedang mengubah lanskap kuasa global apabila Iran kini muncul sebagai pemain strategik utama dunia, menurut sebuah ruangan ulasan terbitan The New York Times.

Pendapat yang ditulis oleh sarjana sains politik Universiti Chicago, Robert A. Pape, berhujah bahawa dunia yang sebelum ini didominasi oleh Amerika Syarikat, China dan Rusia kini sedang menyaksikan kemunculan satu lagi pusat kuasa baharu.

Menurut beliau, kebangkitan Iran bukan berpunca daripada kekuatan ekonomi atau ketenteraan setara kuasa besar dunia, sebaliknya daripada kedudukannya yang menguasai laluan tenaga paling kritikal di dunia iaitu Selat Hormuz.

Selat tersebut menjadi laluan penting bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair global, menjadikannya nadi utama kepada kestabilan pasaran tenaga antarabangsa.

Pape dalam analisisnya yang disiarkan oleh The New York Times menyatakan bahawa konflik semasa melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah mendorong Tehran melaksanakan strategi sekatan tidak langsung di laluan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun Selat Hormuz tidak ditutup sepenuhnya, insiden serangan dan ancaman keselamatan yang berulang telah menyebabkan trafik perkapalan merosot dengan ketara.

Menurutnya, penurunan itu bukan disebabkan sekatan fizikal total, tetapi kerana risiko tinggi yang menyebabkan syarikat insurans menarik atau menaikkan kadar perlindungan perang, sekali gus menjadikan laluan tersebut tidak ekonomi untuk digunakan.

Keadaan ini, menurut analisis tersebut, menimbulkan kesan besar kepada perdagangan global kerana gangguan kecil tetapi berterusan sudah mencukupi untuk menjejaskan aliran tenaga dunia.

Pape turut memberi amaran bahawa jika keadaan ini berterusan dalam tempoh panjang, ia berpotensi mengubah struktur kuasa global serta melemahkan dominasi Amerika Syarikat dalam sistem antarabangsa.