Patuhi peraturan, tiada sekatan guna MyKad untuk subsidi- JPN

MyKad masih boleh digunakan untuk menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95 tanpa sebarang sekatan, namun penggunaannya perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, kata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

JPN berkata penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan orang ramai berhubung kenyataan sebelum ini yang dikaitkan dengan siasatan terhadap penyalahgunaan beberapa MyKad oleh individu selain pemiliknya.

Menurut jabatan itu, siasatan yang dijalankan adalah sebahagian daripada tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri, dan tidak bertujuan menghalang mana-mana pihak daripada menerima manfaat subsidi kerajaan.

“Dalam hal ini, JPN ingin menegaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bagaimanapun, JPN menegaskan bahawa penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan dokumen pengenalan diri kerana ia boleh menjejaskan integriti sistem pendaftaran negara serta pelaksanaan dasar subsidi bersasar.

Sebelum ini, isu berkaitan penggunaan MyKad dalam urusan pembelian petrol bersubsidi mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai sehingga tular di media sosial, sebelum dijelaskan semula oleh pihak berkuasa.