Penjawat awam boleh pakai baju batik hari-hari

Penjawat awam kini boleh memilih untuk memakai baju batik setiap hari bekerja, selari dengan langkah kerajaan mengurangkan penggunaan tenaga di bangunan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ketetapan itu dibuat susulan penyelarasan suhu minimum penyaman udara kepada 24 darjah Celsius sebagai sebahagian usaha penjimatan tenaga.

Menurutnya, pemakaian batik yang sebelum ini diwajibkan pada setiap hari Khamis kini digalakkan sebagai alternatif pakaian pejabat sepanjang minggu bekerja.

“Pemakaian baju batik adalah diwajibkan setiap hari Khamis dan digalakkan dipakai pada setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat,” katanya dalam surat edaran kepada ketua setiausaha kementerian dan setiausaha kerajaan negeri.

Surat tersebut dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dalam masa sama, beliau berkata ketua jabatan diberi kuasa untuk membenarkan pegawai memakai baju korporat atau pakaian kerja lapangan pada hari tertentu mengikut keperluan tugas.

Pegawai juga dibenarkan memakai baju korporat setiap hari kecuali pada Khamis, namun ketetapan itu tidak terpakai kepada pegawai yang diwajibkan memakai pakaian seragam.

Langkah itu dilihat selari dengan usaha kerajaan memperketat penggunaan tenaga di bangunan awam, termasuk menetapkan suhu minimum penyaman udara bagi mengurangkan penggunaan elektrik.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata kawalan penggunaan tenaga akan dipertingkat sebagai antara langkah menghadapi tekanan krisis tenaga global.

Inisiatif tersebut turut mencerminkan pendekatan kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih berhemat di sektor awam.