PMX turun padang urus krisis, PN dikritik anjur konvoi
Ketika negara berdepan tekanan akibat krisis minyak global susulan ketegangan di Asia Barat, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan turun padang bagi menyelaras tindakan bersama kerajaan negeri dalam menghadapi situasi berkenaan.
Menurut beliau, Perdana Menteri juga telah bertemu Menteri Besar dan Ketua Menteri di seluruh negara bagi meneliti langkah bersepadu selain memberi penerangan kepada rakyat mengenai keadaan semasa ekonomi dan sektor tenaga negara.
“PMX bekerja, PN berkonvoi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengkritik tindakan pembangkang yang didakwa lebih cenderung menganjurkan program konvoi motosikal sejauh kira-kira 10 kilometer pada ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Rakyat, katanya, berhak menilai sama ada program sedemikian memberi kesan kepada usaha menstabilkan harga minyak, bekalan tenaga serta membantu meringankan beban isi rumah dan sektor perniagaan kecil.
“Adakah ia membantu menurunkan harga minyak? Adakah ia menstabilkan bekalan? Adakah ia meringankan beban rakyat?” soal beliau.
Jimmy turut mendakwa tindakan menganjurkan program yang melibatkan penggunaan bahan api secara beramai-ramai itu tidak selari dengan keperluan semasa yang memerlukan penjimatan, kecekapan dan kesiapsiagaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, dalam keadaan mencabar ketika ini, rakyat tidak memerlukan program berbentuk hiburan politik, sebaliknya menuntut kepimpinan yang fokus kepada pengurusan krisis dan penyelesaian masalah ekonomi.
“Rakyat perlukan pemimpin yang cekap mengurus krisis, berani membuat keputusan sukar dan melindungi kepentingan mereka,” katanya.