Selepas bertahun tertangguh, RUU Suruhannjaya Keharmonian digubal semula
Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan menggerakkan semula usaha menggubal semula Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan penubuhan Suruhannjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN).
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, usaha tersebut mengambil kira perkembangan semasa serta peningkatan polemik berkaitan perpaduan yang menggugat keharmonian masyarakat sejak kebelakangan ini.
Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata, cadangan baharu itu akan memberi penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian, bukan semata-mata tindakan hukuman.
Jelasnya, pendekatan tersebut merangkumi usaha pencegahan awal, mediasi serta penyelesaian konflik secara harmoni dan konstruktif.
“Langkah ini juga selaras dengan amalan antarabangsa seperti Maintenance of Religious Harmony Act (MHRA) di Singapura, selain mengambil inspirasi daripada Australian Human Rights Commission (AHRC) serta National Peace and Reconciliation Commission (NPRC) di Zimbabwe.
“Ia juga dijangka berperanan menjalankan siasatan terhadap isu yang menjejaskan keharmonian, memanggil pihak berkaitan memberi keterangan, serta mengemukakan syor tindakan dan langkah pencegahan kepada kerajaan,” kata beliau.
Proses mediasi
Dalam masa sama, Aaron berkata, SKRN turut dijangka mengendalikan proses mediasi secara rasmi dan menerbitkan laporan awam, tertakluk kepada kepentingan keselamatan negara.
JPNIN telah memulakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak sejak awal April.
Sesi tersebut akan diteruskan secara inklusif dengan penglibatan agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, komuniti setempat serta pemegang taruh berkaitan.
Pada 2015, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) telah menyediakan tiga draf RUU iaitu RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, serta RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN).
Namun, pada 2019, dua daripada cadangan tersebut tidak diteruskan.
RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama ditolak kerana bertindih dengan undang-undang sedia ada dan dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan.
Sementara itu, RUU Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional juga tidak diteruskan kerana prinsip larangan diskriminasi telah termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan penubuhan SKRN pula pada asasnya telah dipersetujui tetapi pelaksanaannya tertangguh berikutan pertindihan bidang kuasa dengan agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada April 2020, kerajaan memutuskan agar cadangan tersebut tidak diteruskan.
BACA JUGA Gas komersial sahaja naik, tong gas rumah kekal seperti biasa