Wakil rakyat DAP diarah turun padang perjelas krisis tenaga

Semua wakil rakyat dan pemimpin DAP diarahkan turun ke akar umbi bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai keseriusan krisis tenaga global yang semakin memuncak susulan konflik di Timur Tengah.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata langkah itu bertujuan memastikan rakyat memahami kesan langsung ketidaktentuan geopolitik terhadap ekonomi negara, termasuk peningkatan harga minyak dan tekanan kos sara hidup.

Beliau turut menggesa rakyat mengamalkan penjimatan tenaga serta mengurangkan penggunaan kenderaan sebagai usaha mengurangkan permintaan terhadap petroleum.

“DAP menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mengurus krisis global ini secara tuntas demi kelangsungan ekonomi negara dan kehidupan rakyat serta memastikan sumber negara diurus dengan berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang turut membincangkan perkembangan semasa, termasuk kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan tenaga dunia.

Menurutnya, mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai kemungkinan gangguan bekalan minyak yang boleh menjejaskan negara seawal selepas Mei, sekiranya ketidaktentuan geopolitik berterusan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata DAP mengarahkan wakil parti dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pengasingan kuasa Peguam Negara untuk memastikan penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat disegerakan.

Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan RUU berkenaan dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.

Dalam kenyataan sama, parti itu turut menyokong tindakan tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kematian di jalan raya.

Kenyataan berkenaan hadir ketika kebimbangan terhadap krisis tenaga global semakin meningkat, dengan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga minyak dunia dijangka memberi kesan langsung kepada pengguna domestik