ADUN Pas main persepsi, rakyat pertegas kerajaan fokus lindungi rakyat ketika krisis

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dilihat bermain persepsi apabila mendakwa Kerajaan MADANI sebagai gagal dan kononnya rakyat terhimpit.

Kenyataan wakil rakyat Pas dari Terengganu itu muncul ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi global yang kompleks manakala parti pembangkang baru-baru ini telah menganjurkan konvoi bermotosikal disertai ribuan penunggang.

Menerusi kenyataan hari ini, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin mendakwa Kerajaan Persekutuan gagal memimpin dengan berkesan serta membandingkan situasi semasa dengan era pandemik Covid-19 ketika ditadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pemimpin pembangkang yang dikenali dengan panggilan Dr Din itu mendakwa kononnya menteri-menteri sepanjang tempoh pandemik lalu mempunyai peranan masing-masing manakala barisan hadapan dihargai.

Sebaliknya, kata Dr Din, 38, ramai menteri pada masa ini seolah-olah hilang lantaran ada yang sibuk bercakap benda remeh, bermain politik serta ada yang muncul sekali-sekala untuk marah rakyat bukan untuk menenangkan rakyat.

“Dulu PM bercakap untuk beri harapan. Sekarang PM bercakap untuk sindir rakyat.

“Dulu rakyat tunggu sidang media sebab mahu dengar berita baik. Sekarang rakyat takut bila PM bercakap sebab selalunya ada berita hidup makin susah,” dakwa bekas Pegawai Perubatan Hospital Kemaman itu.

Tanpa menyebut nama secara khusus, Dr Din juga menambah bahawa malang sungguh apabila negara “dapat pemimpin yang terlalu syok sendiri”.

“Dia ingat semua orang kagum dengan ceramahnya. Dia ingat semua orang terhibur dengan sindirannya.

“Sedangkan di bawah, rakyat sedang bergelut beli makanan, isi minyak, bayar sewa rumah dan fikir masa depan anak-anak,” dakwanya.

Pas suka menipu

Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menempelak kenyataan pemimpin Pas berkenaan yang turut dikongsikan di laman Facebook rasmi, Pemuda Pas.

Ramai berpendapat krisis yang dihadapi kini jauh berbeza berbanding pandemik serta melibatkan faktor luaran seperti konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Pengguna Facebook, Osman Ayub menyifatkan Pas semakin hari semakin suka menipu memandangkan realiti sebenar menyaksikan banyak sebab rakyat pada masa ini masih hidup selesa.

Beliau menyenaraikan situasi itu berlaku kerana RON 95 masih murah pada harga RM1.99, diesel subsidi nelayan RM1.68, diesel subsidi bas awam RM1.88, diesel subsidi lori makanan RM2.15 serta diesel subsidi Hilux dan lain-lain sebanyak RM300 sebulan.

Selain itu, rakyat masih lagi dapat membeli telur RM6 sepapan yang mengandungi 30 biji, ayam RM8 sekilogram, minyak masak paket RM2.50, beras murah serta sayur-sayur murah di pasaran.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Terbaik Kerajaan Madani. Terima Kasih PMX,” kata Osman lagi.

Tidak kurang juga yang mempersoal siapa menteri era kerajaan PN yang benar-benar berfungsi seperti didakwa Dr Din sepanjang tempoh pandemik lalu dengan menyaksikan Parlimen digantung beberapa bulan sekaligus melemahkan semak imbang demokrasi.

“Masa Covid, semua menteri ada peranan? Saiz Kabinet XXL! Menteri dan yang bertaraf menteri makan gaji buta! Sang Ketua main golf di luar negara.

“Menteri mana yang function masa 33 bulan tu?” demikian antara reaksi warganet.

Ada juga secara sinis berkata bahawa Perdana Menteri yang digelar ‘PM Covid’ kini bukan lagi berada di kedudukan utama, sebaliknya seolah-olah terpinggir, dan tidak wajar dibiarkan keseorangan.

“Kesian PM Covid tu sekarang bukan PM tepi lagi dah, PM bucu jadinya. Tak baik biarkan dia keseorangan,” perli Mohamad Alfendi pula.

BACA JUGA Rakyat Iran turun ke jalan raya raikan kemenangan