AMK: Naratif PAS mengenai harga minyak tersasar daripada realiti

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menegaskan bahawa kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang berhubung kenaikan harga diesel di Semenanjung disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak berpijak kepada realiti ekonomi semasa.

Naib Ketua AMK, Nadia Nazri berkata naratif yang mengaitkan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak sehingga harga bahan api tidak sepatutnya meningkat adalah terlalu simplistik dan mengabaikan kedudukan negara dalam sistem tenaga global.

“Malaysia bukan hidup dalam ruang vakum. Kita sebahagian daripada pasaran tenaga dunia yang dipengaruhi harga minyak mentah dan produk petroleum bertapis di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media pada 8 April 2026.

Menurut AMK, walaupun Malaysia mengeluarkan minyak mentah, negara masih bergantung kepada import produk petroleum bertapis yang harganya ditentukan oleh pasaran global.

AMK turut menjelaskan bahawa harga minyak mentah Brent kini melepasi paras AS$100 setong, manakala harga diesel bertapis di pasaran antarabangsa mencecah sekitar AS$200 hingga AS$250 setong.

Kenaikan itu, menurut kenyataan tersebut, turut dipengaruhi ketegangan geopolitik di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia, sekali gus meningkatkan kos insurans dan mengganggu rantaian bekalan global.

AMK turut menolak dakwaan bahawa Malaysia tidak terkesan kerana tidak berdepan sekatan, dengan menyatakan pasaran tenaga global beroperasi berdasarkan risiko, bekalan dan permintaan, bukan semata-mata faktor politik dua hala.

Dalam pada itu, AMK menjelaskan perbezaan harga diesel antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak adalah berpunca daripada faktor geografi, kos logistik dan struktur ekonomi wilayah yang berbeza, selain usaha kerajaan mengekang ketirisan dan penyeludupan.

“Dasar ini dilaksanakan berdasarkan realiti wilayah, bukan diskriminasi,” menurut kenyataan itu.

AMK turut menegaskan kerajaan kini menanggung subsidi bahan api yang besar, dianggarkan sekitar RM4 bilion sebulan, dan tanpa pendekatan bersasar, ia berisiko dinikmati secara tidak adil oleh golongan berpendapatan tinggi serta aktiviti penyeludupan.

Kenyataan itu juga menegaskan keperluan untuk menilai isu ekonomi secara fakta dan bukan emosi, selain mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak lengkap boleh mengelirukan rakyat.

AMK menyifatkan cubaan mengulang naratif lama tanpa mengambil kira realiti pasaran global hanya akan menjejaskan kefahaman awam terhadap isu sebenar ekonomi negara.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Nadia Nazri selaku Naib Ketua AMK