Indeks kebahagiaan rakyat meningkat selaras dasar MADANI

Tahap kebahagiaan rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan dan kini melepasi purata global, menurut Indeks Kebahagiaan 2026 yang dikeluarkan oleh Ipsos.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata Malaysia mencatatkan skor 81 peratus tahun ini, meningkat berbanding 76 peratus pada 2025.

Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan keberkesanan dasar Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Ini bermaksud dasar Kerajaan MADANI mensejahterakan rakyat kini mula membuahkan hasil.

“Kita akan terus mempertingkatkan payung MADANI untuk melindungi rakyat daripada segala ketentuan, kacau-bilau dan huru-hara di peringkat global,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat, Nga turut berkongsi beberapa prinsip asas bagi membina kehidupan lebih bahagia, termasuk membudayakan amalan bersyukur dengan memberi fokus kepada apa yang dimiliki serta menghargai perkara kecil dalam kehidupan.

Beliau turut menekankan kepentingan kekal positif, menjauhkan diri daripada elemen negatif serta mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan rehat mencukupi.

Sementara itu, sebanyak 10 bandar di seluruh negara diiktiraf sebagai Bandar Paling Bahagia 2026, dengan Johor dan Terengganu mendominasi senarai tersebut.

Bandar yang menerima pengiktirafan itu ialah Simpang Renggam, Kluang dan Mersing di Johor; Kuala Terengganu, Marang serta Permaisuri di Terengganu; selain Lipis dan Raub di Pahang, Dabong di Kelantan serta Ranau di Sabah.

Nga berkata pengukuran tahap kebahagiaan bandar di Malaysia turut diintegrasikan dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi memastikan penilaian yang lebih komprehensif.

“Ia mewakili gambaran kesejahteraan rakyat secara menyeluruh di peringkat nasional, negeri dan daerah, manakala sistem MURNInets melengkapkan analisis dengan mengambil kira pengalaman sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran dan perkhidmatan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya.