Malaysia kutuk tindakan menteri Israel ceroboh Al-Aqsa

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang menteri Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab serta berpotensi menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau.

“Ia menjejaskan hak beragama umat Islam di seluruh dunia. Malaysia menegaskan bahawa perlindungan dan penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa dan tapak suci lain di Baitulmaqdis merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dirunding di bawah undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut menggesa masyarakat antarabangsa mengecam tindakan berkenaan dan menuntut Israel menghentikan segala bentuk tindakan agresif.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengecam dengan keras tindakan Israel dan menuntut agar ia segera menghentikan semua tindakan agresif serta menghormati kesucian tapak suci,” katanya.

Menurutnya lagi, langkah konkrit perlu diambil bagi mengelakkan pelanggaran berulang serta memastikan keselamatan tapak suci terus terpelihara.

“Langkah konkrit mesti diambil untuk mencegah pelanggaran selanjutnya dan memastikan tapak suci Baitulmaqdis kekal selamat, dilindungi dan boleh diakses oleh semua penganut,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia menegaskan solidariti teguh terhadap rakyat Palestin serta komitmen untuk mempertahankan warisan agama, budaya dan negara mereka.

Malaysia turut mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.