MTEN teliti kesan krisis tenaga global, fokus lindungi rakyat

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini meneliti kesan krisis tenaga global dengan tumpuan utama kepada usaha melindungi rakyat serta memastikan keterjaminan bekalan strategik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memperkukuh langkah membanteras ketirisan dan penyeludupan melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih ketat.

Menurutnya, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 akan diperkasa secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi mengekang kebocoran subsidi dan barangan kawalan.

Selain itu, kerajaan turut memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Langkah termasuk pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import serta pelan kecemasan bagi memastikan keperluan kritikal sentiasa mencukupi,” katanya.

Bagi jangka panjang, kerajaan merancang untuk memperkukuh stok penimbal strategik serta membangunkan industri tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Menurut Anwar, dasar menyeluruh juga sedang dirangka melalui inisiatif MyMedSecure bagi memperkukuh keselamatan bekalan perubatan negara.

Dalam mesyuarat sama, MTEN turut meneliti operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan penekanan kepada aspek keselamatan dan kebajikan mereka.

“Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab untuk mengurus krisis ini dengan berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi serta negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.