PTPTN bantu keluarga mangsa kemalangan maut di Klang
Nasib keluarga mangsa kemalangan maut di Klang yang dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol terus mendapat perhatian apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghulurkan bantuan simpanan pendidikan berjumlah RM3,000, hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata bantuan itu disalurkan menerusi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM1,000 bagi setiap anak mangsa.
Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN dalam membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat tragedi itu.
“Kita amat prihatin dengan kes sebegini, lebih-lebih lagi apabila membabitkan anak-anak yang masih kecil berusia dua hingga sembilan tahun dan sedang membesar.
“Jadi, kita tampil membantu dalam bentuk simpanan SSPN supaya masa depan pendidikan mereka lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Nor Nadia Abdul Majid, isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, di Kampung Repuh, Batu Kurau.
Menurut Norliza, selain bantuan kewangan, simpanan SSPN turut menawarkan pelbagai manfaat termasuk perlindungan takaful, dividen tahunan serta jaminan patuh syariah.
Katanya, apabila simpanan mencapai jumlah tertentu, pendeposit layak menikmati perlindungan takaful selain pulangan dividen yang dapat menambah nilai simpanan dari semasa ke semasa.
“Ini penting supaya apabila anak-anak ini mencapai usia untuk melanjutkan pelajaran, mereka tidak perlu lagi risau mengenai kos pendidikan,” katanya.
Tambahnya, akaun SSPN juga menawarkan kelebihan seperti pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun serta peluang memohon geran sepadan sehingga RM10,000 tertakluk kepada syarat.
“Dengan hanya RM20 menggunakan MyKid, ibu bapa sudah boleh membuka akaun SSPN untuk anak-anak,” katanya.