Stok makanan mencukupi di Pasar Borong Selangor, rakyat diminta tidak panik

FOTO BERITA: Lawatan dan tinjauan ke Pasar Borong Selangor bersama YB Abbas Azmi, ADUN Seri Serdang bersama Pengurus Pasar Borong Selangor Mazlan Sahran untuk memastikan bekalan makanan kekal stabil dan mencukupi untuk rakyat di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, Selangor. 8hb April 2026 (Rabu)

Dalam lawatan tersebut, beliau bersama pengurusan pasar dan wakil pihak berkuasa tempatan meninjau sendiri keadaan bekalan barangan asas termasuk ikan, ayam, daging, sayur-sayuran serta barangan kering yang menjadi keperluan harian penduduk sekitar Seri Serdang, Seri Kembangan dan Kinrara.

Menurut Abbas Azmi, hasil tinjauan mendapati harga barangan makanan masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak menunjukkan kenaikan mendadak walaupun terdapat tekanan daripada faktor luar seperti kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan global.

“Alhamdulillah, kita lihat sendiri bekalan makanan mencukupi. Harga ikan, ayam, daging dan sayur masih terkawal dan tidak melonjak tinggi. Ini menunjukkan rantaian bekalan kita masih kukuh,” katanya dalam sidang media selepas lawatan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa maklum balas daripada peniaga dan pembeli mendapati tiada gangguan besar terhadap bekalan, malah stok barangan seperti beras, hasil laut dan sayur-sayuran berada pada tahap yang memuaskan.

“Walaupun ada sedikit perubahan harga bagi sesetengah barangan seperti ikan popular, ia lebih dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran, bukan disebabkan krisis global secara langsung,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor atas usaha berterusan dalam memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

Abbas Azmi turut mencadangkan agar program jualan bersubsidi seperti Jualan Rahmah dan Jualan Madani diperkukuh serta diperluas sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan pada masa hadapan.

“Buat masa ini keadaan masih normal dan tidak memerlukan langkah tambahan. Namun kita perlu bersiap siaga. Jika keadaan global bertambah buruk, program jualan murah ini boleh dipertingkatkan bagi membantu rakyat,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa pemantauan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan bekalan makanan terus mencukupi dan harga kekal stabil, sekali gus mengelakkan sebarang panik dalam kalangan pengguna.

Bekalan makanan di Pasar Borong Selangor kekal stabil dan mencukupi hasil rantaian bekalan yang pelbagai serta pemantauan berterusan oleh pihak berkaitan, menurut Pengurus Pasar Borong Selangor Mazlan Sahran.

Beliau berkata, sumber bekalan makanan yang diterima di pasar borong berkenaan tidak hanya tertumpu kepada satu lokasi, sebaliknya melibatkan pembekal dari dalam dan luar negara.

“Bekalan kita datang daripada pelbagai sumber. Contohnya ikan, ada yang diperoleh dari kawasan tempatan seperti Pulau Ketam, selain dari Indonesia, Thailand, serta Pasar Besar Kuala Lumpur dan Sekinchan. Jadi dari sudut bekalan, kita tidak menghadapi sebarang masalah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah beliau, keadaan sama turut melibatkan bekalan sayur-sayuran dan barangan makanan lain yang sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna di sekitar Selangor.

Menurut Mazlan, sepanjang pemantauan dijalankan, tiada gangguan serius terhadap rantaian bekalan dilaporkan. Malah, sekiranya berlaku sebarang isu, pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor akan segera mengambil langkah penyelesaian.

Menurut Mazlan, sepanjang pemantauan dijalankan, tiada gangguan serius terhadap rantaian bekalan dilaporkan. Malah, sekiranya berlaku sebarang isu, pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor akan segera mengambil langkah penyelesaian.

“Kalau ada gangguan sekalipun, pihak PKPS akan tampil dengan solusi bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas. Setakat ini, semuanya berjalan lancar,” jelasnya.

Dari sudut harga pula, beliau memaklumkan pemantauan turut dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memastikan tiada kenaikan harga yang tidak munasabah.