Terjemah pelan 10 perkara kepada perjanjian damai yang menyeluruh – PM Anwar
Malaysia menekankan keperluan pelan 10 perkara yang dikemukakan Iran diterjemah kepada perjanjian damai yang menyeluruh dengan turut melibatkan negara lain yang terkesan seperti Iraq, Lubnan dan Yaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan perkembangan terbaharu dalam konflik semasa antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, khususnya berhubung pelan 10 perkara tersebut yang diterima secara positif oleh As.
Cadangan tersebut, jelasnya, memberi petanda positif ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau Asia Barat, malah di peringkat global.
“Cadangan ini memberi petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau berkenaan malah di seluruh dunia.
“Adalah diharapkan proses rundingan akan dijalankan dengan penuh keikhlasan, disertai tekad yang kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi rantau ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam masa sama, Anwar juga menegaskan rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya proses itu dicemari dengan penipuan dan muslihat.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif, atas usaha diplomasi berterusan yang disifatkan berani dan tidak mengenal penat lelah.
Menurutnya, pendekatan Pakistan yang bersedia berunding dengan semua pihak tanpa rasa takut atau pilih kasih mencerminkan solidariti umat Islam serta tanggungjawab antarabangsa yang tinggi.
“Malaysia bersedia untuk menyokong dan melengkapi segala usaha ke arah tersebut,” katanya.
Anwar turut menyeru komuniti antarabangsa supaya memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat konflik berkenaan.
BACA JUGA Pas anggap tiada sebab harga minyak naik, ramai tempelak hujah Hadi