Bila ‘Minda Presiden’ gagal, kepimpinan MADANI tampil dengan fakta
Oleh ZIYAURRAHMAN
Tulisan Minda Presiden oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertujuan menyedarkan umat Islam, namun diteliti, yang jelas bukan analisis yang bersendi syariah sebaliknya sekadar retorik politik yang disalut ayat al-Quran untuk menggoncang emosi.
Ayat al-Quran digunakan berkali-kali. Tetapi ayat umum tentang iman, syaitan dan perjuangan tidak memberkaitan malah menyokong dakwaan harga minyak tidak patut naik.
Dalil yang benar tidak menjadikan hujah itu benar. Menggunakan agama untuk menyokong kesimpulan politik tanpa fakta menjadikan tulisan itu lemah.
Lebih canggung, ayat suci Al-Quran bukan jadi sandaran hujah sebaliknya hanya sekadar hiasan.
Apabila isu ekonomi dijawab dengan ayat umum seperti dalam tulisan Minda Presiden, ia menjadikan analisis itu cetek dan pembacaan itu sebagai pengalihan isu.
Seolah-olah sesiapa yang tidak setuju dianggap ditipu syaitan. Cara ini menutup ruang perbahasan rasional.
Ini gaya retorik dan bukan gagasan pemikiran seorang pemimpin gerakan Islam yang dianggap agamawan dan ilmuwan tersohor negara.
Tulisan itu juga menyebut umat Islam ditipu berkali-kali. Tetapi rakyat juga menjadi saksi perubahan paksi politik yang ketara.
Jika dulu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dilabel dengan pelbagai gelaran keras seperti secular, menolak Islam serta pembunuh para syahid Memali dan pelbagai lagi kata nesta yang penulis sendiri tak tergamak untuk ulangi. Walau sekadar contoh.
Hari ini tokoh yang sama dipetik sebagai panduan peringatan. Jika dahulu salah, mengapa kini dijadikan hujah. Jika kini benar, adakah dahulu hanya retorik politik.
Ini menunjukkan masalah konsistensi. Prinsip berubah mengikut bulan. Musuh berubah mengikut keperluan. Rakyat kekal menjadi saksi yang melihat dan menilai.
Tulisan itu juga mendakwa tidak ada sebab harga minyak naik juga terlalu dangkal bila gagal membincangkan perihal kepada subsidi, defisit fiskal, nilai ringgit, harga global dan kos logistik. Sebaliknya dipertikai Sabah dan Sarawak berbeza kerana bentuk geografinya dan kos pengangkutan.
Malah harga barangan asas di sana pun ada perbezaan yang ketara. Jika setara presiden tidak tahu andai perkara yang dharuri(asas) ini, maka ini sesuatu yang amat musykil. Mengaitkan semuanya dengan geopolitik Iran tanpa angka dan data hanya dongengan tanpa asas yang membumi.
Tuduhan yang mendakwa Malaysia tidak terkesan kerana tidak termasuk sekatan Iran juga tidak masuk akal. Hakikatnya pasaran minyak global saling berkait.
Jika laluan utama terganggu, harga global berubah. Malaysia masih terjejas melalui import, turun naik mata wang, dan beban subsidi. Ini asas ekonomi tenaga.
Malah beliau yang bercakap soal ini, pernah menjadi Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri. Adakah tidak memahami realiti sebenar?
Mengabaikan fakta ini menunjukkan analisis beliau yang cetek.
Sembang kedai kopi
Lebih jauh, tulisan itu mengangkat Iran sebagai pembela umat dan menyalahkan negara Islam lain. Dunia Islam tidak monolitik. Pendekatan diplomasi dan keselamatan berbeza.
Menuduh semua yang tidak sehaluan sebagai tunduk kepada Barat hanyalah penyederhanaan. Ia membakar emosi tetapi tidak menjelaskan realiti.
Retorik juga dibina dengan analogi Firaun, syaitan dan ancaman global. Bahkan nama Donald Trump disebut sebagai simbol kezaliman. Untuk Donald Trump penulis bersetuju tetapi jika semua ini?
Namun penulisan beliau langsung tiada angka subsidi. Tiada kos fiskal. Tiada data harga. Tiada mekanisme pasaran. Ini bukan “Minda Presiden”. Ini sekadar sembang kedai kopi.
Apabila tulisan panjang sarat ayat al-Quran tetapi kosong analisis, ia menimbulkan persoalan. Adakah ini tahap pemikiran yang mahu dipersembahkan sebagai panduan umat.
Adakah memetik dalil tanpa konteks ekonomi dianggap hujah negara. Rakyat berhak dan perlu bertanya.
Umat Islam tidak memerlukan retorik yang menyederhanakan isu kompleks. Umat Islam memerlukan kepimpinan yang jujur dengan realiti. Jika setiap isu ekonomi dijawab dengan naratif ditipu dan syaitan, maka perbahasan matang tidak akan wujud.
Jika satu seruan itu hanya bertujuan meninggikan emosi pembaca namun dangkal dari segi anaisis, ia tidak sepadan dengan label ‘Minda Presiden’ dan sekadar mencerminkan retorik politik lama yang bergantung kepada sentimen, bukan hujah.
Rakyat hari ini makin bijak menilai konsistensi, bukan sekadar potongan ayat. Menilai fakta, bukan sekadar tuduhan.
Dan apabila tulisan seperti ini dibaca dengan kritikal, yang terjatuh bukannya sokongan rakyat terhadap kerajaan sebaliknya nilai buah pemikiran penulisnya sendiri.