Hadi ‘hidup dalam fantasi’, gagal fahami pasaran minyak global – PKR

Seorang pemimpin PKR hari ini menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenaikan harga minyak sebagai tidak berasaskan realiti, malah berpotensi mengelirukan rakyat mengenai situasi sebenar pasaran tenaga global.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, hujah presiden Pas itu yang mengaitkan ketiadaan sekatan ke atas kapal Malaysia di Selat Hormuz sebagai alasan tiada kenaikan harga minyak menunjukkan kefahaman yang terlalu sempit.

“Logik ini seolah-olah mengaitkan harga minyak hanya kepada laluan fizikal kapal Malaysia, sedangkan harga minyak dunia ditentukan oleh faktor global, khususnya keseimbangan antara bekalan dan permintaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Amidi, walaupun Selat Hormuz mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, tidak bermakna baki 80 peratus bekalan lain tidak terjejas oleh ketegangan geopolitik melibatkan Iran.

Beliau berkata, sebarang gangguan terhadap laluan strategik itu tetap memberi kesan kepada keseluruhan pasaran kerana ia melibatkan sentimen, kos logistik dan risiko bekalan.

“Persoalannya, mengapa harga minyak tetap meningkat walaupun tidak semua bekalan melalui Selat Hormuz? Jawapannya jelas, pengurangan pengeluaran oleh negara pengeluar dan peningkatan kos operasi,” katanya.

Amidi merujuk laporan media antarabangsa yang menyatakan pengeluaran minyak oleh negara Teluk menurun sehingga 30 peratus, sekali gus memberi tekanan kepada bekalan global dan mendorong kenaikan harga.

Sehubungan itu, beliau mendakwa kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja tidak tepat, malah boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat, serta menggesa semua pihak memberi penjelasan berasaskan fakta bagi mengelakkan kekeliruan.