Harga minyak bukan main ‘on-off’, ramai masih keliru, ini penjelasannya
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Antara topik yang sedang hangat orang berbalah sekarang ialah harga minyak. Mengapa bila Iran umumkan Selat Hormuz dibuka, harga minyak dunia turun tetapi harga di pam naik?
Sebenarnya bukan tak ada penerangan berkenaan perkara ini, banyak di media sosial. Namun, pasal apa nak berbalah lagi? Ada sekurang-kurangnya 2 sebab:
1) Orang yang dah tetapkan apa yang dia nak percaya dan tak mahu menilai penerangan orang lain. Lagi-lagi apabila bos besar pun tak nak percaya penerangan orang lain. Orang macam ni tidak akan menukar pandangannya walaupun ada keterangan yang jelas.
2) Orang yang belum sampai kepadanya penerangan atau susah nak memahami penerangan yang kompleks. Kita kena cuba terangkan lagi supaya mereka faham dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Mungkin ada sebab ketiga, orang yang menerangkan itu terlalu memudahkan perkara yang kompleks.
Jadi, disebabkan nampak mudah, orang yang mendengar menganggap apa yang difahami itu adalah benar walaupun sebenarnya mereka masih tidak faham.
Jika nak peningkan lagi penjelasan mengapa ada yang berbalah ni, kita campakkan lagi satu sebab, konteks sudah berubah.
Masa dia dengar penerangan dahulu keadaannya berbeza dengan keadaan hari di mana perbalahan itu berlaku.
Bukan dikawal
Saya ada sedikit pendedahan berkenaan harga minyak ini kerana saya pun menjaga sebuah syarikat yang memproses dan memasarkan minyak.
Minyak yang belum diproses ini, sama ada digali di Malaysia atau pun digali di luar negara dijual beli dalam Dollar Amerika.
Harganya pula ditentukan oleh pasaran terbuka, bukan dikawal harganya. Jadi, setiap hari turun naik.
Kemudian, di atas harga pasaran itu ada premium, keuntungan yang diambil oleh pihak yang menjual.
Ada pihak yang mengumpulkan bekalan minyak dan menjualnya kepada syarikat-syarikat yang memproses minyak.
Dalam keadaan bekalan minyak berkurangan, mereka juga kenakan premium yang lebih tinggi.
Inilah sebabnya kebanyakan pengguna minyak yang besar seperti syarikat pengedar minyak dan juga syarikat penerbangan cuba menetapkan harga minyak dengan menggunakan kaedah “hedging”, minyak dibeli dengan jumlah yang besar berdasarkan harga yang ditetapkan.

Lebih tinggi
Sudah tentu harga semasa kontrak dipersetujui lebih tinggi dari harga pasaran tetapi ianya memberikan ketentuan harga. Risiko naik turun harga minyak ditanggung oleh pihak yang menjual.
Sila rujuk kepada agamawan yang bijak di dalam muamalah jika nak tahu kedudukan syariah “hedging” ini. Ada yang patuh syariah.
Apa jadi jika pengguna minyak tidak membeli minyak melalui “hedging” yang cukup? Dia kena bayar harga pasaran.
Perasan tak, ada syarikat-syarikat penerbangan yang sudah umumkan mereka nak kurangkan penerbangan?
Saya menjangka sebabnya ialah mereka terdedah kepada harga semasa yang tinggi kerana strategi “hedging” mereka di awal tahun.
Minyak ini pula jika dibeli hari ini bukannya terus sampai. Mengapa pula?
1) Minyak kena sampai dari negara asal. Oleh kerana tidak semua loji memproses minyak di Malaysia boleh memproses minyak ringan Malaysia, kita kena beli minyak berat Asia Barat yang lebih murah. Agaknya berapa hari nak sampai tu?
2) Minyak mentah tidak boleh terus dipamkan ke dalam kereta anda, betul tak? Kena proses dahulu. Agak-agaknya berapa hari nak proses pula? Jika tak tahu, baik mengaku. Jangan main tembak sahaja.

Pemprosesan minyak bukannya percuma. Ada premium lagi. Jika tidak buat apa ada syarikat memproses minyak. Ini yang membuatkan kos di pam tidak sama dengan harga semasa minyak dunia.
Jadi, daripada pembelian sehingga minyak sampai ke pam untuk diisi ke dalam tangki kereta anda boleh memakan masa sebulan dua. Bayangkan banyaknya perbezaan harga boleh berlaku.
Jadi, kepercayaan bahawa kita tidak sepatutnya naikkan harga minyak sebab Malaysia keluarkan minyaknya sendiri tu amat tersasar dari realiti.
Kepercayaan bahawa harga di pam kena naik turun bersekali dengan harga minyak dunia pun sebenarnya ke laut juga.
Cubalah memahami perkara yang kompleks dengan minda yang kompleks juga. Saya yakin Allah berikan kita kemampuan jika kita mahu belajar.
Kompleksiti juga ada di dalam agama. Itulah sebabnya hanya orang-orang yang sihat akalnya menanggung beban syariah. Jika kita gila, beban syariah itu gugur.
Jika kita dibebankan dengan syariah hari ini, itu bermakna akal kita sihat.
Jadi, gunakan akal yang sihat itu untuk memahami perkara-perkara yang memberi kesan ke atas kehidupan kita supaya kita tak mudah nak berbalah. Berbalah ni pun Allah tak suka, tau.
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
BACA JUGA Anwar vs Rafizi: Angka ekonomi buktikan kerja tiga tahun PMX