Nurul Izzah tekankan kepentingan diplomasi dalam isu Selat Hormuz
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar menekankan kepentingan diplomasi dalam menangani ketegangan berkaitan Selat Hormuz, sambil mengiktiraf hak setiap negara menentukan pendirian masing-masing.
Mengulas kenyataan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, Nurul Izzah berkata pendekatan berbeza adalah perkara biasa dalam hubungan antarabangsa, namun dialog perlu kekal sebagai asas utama.
“Setiap negara mempunyai pertimbangan tersendiri, namun dalam situasi yang semakin kompleks, diplomasi perlu terus diusahakan, bukan diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Malaysia secara konsisten memilih pendekatan penglibatan dan rundingan dalam menangani isu keselamatan serantau.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan kestabilan, khususnya dalam isu yang memberi kesan kepada keselamatan tenaga dan kepentingan bersama di rantau ini,” katanya.
Nurul Izzah turut merujuk kepada usaha yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim dalam mengangkat pendekatan dialog sebagai jalan utama mengurangkan ketegangan.
“Kita memilih dialog kerana pengalaman menunjukkan bahawa penglibatan yang berterusan mampu mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih tegang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan pendekatan yang seimbang dan bebas dalam memastikan suara negara serantau kekal relevan.
“Pendekatan yang inklusif dan berhemah akan membantu membina persefahaman serta mengurangkan risiko konflik berpanjangan,” katanya lagi.
Beliau berkata diplomasi telah lama menjadi asas kepada keamanan di Asia Tenggara dan perlu terus diperkukuh dalam menghadapi cabaran global semasa.
“Dalam saat ketegangan global meningkat, rantau ini memerlukan lebih banyak usaha membina jambatan, bukan memperdalam jurang perbezaan,” katanya.
Sehubungan itu, Nurul Izzah menegaskan Malaysia akan terus menyokong penyelesaian secara aman melalui rundingan dan kerjasama antarabangsa.