Papagomo buat hal lagi dan lagi, ini tindakan bakal diambil SKMM

Ekoran dakwaan palsu berkaitan sekatan laporan media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo.

SKMM berkata, dakwaan ia menyekat laporan Malaysia Gazette berkaitan kes mahkamah melibatkan penyokong pembangkang itu dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil adalah tidak benar dan palsu.

“SKMM tidak terlibat dalam kes itu dan tidak mengeluarkan sebarang permohonan atau permintaan untuk menyekat kandungan itu kepada mana-mana media mahupun platform,” tegas SKMM dalam kenyataan.

Sehubungan itu, SKMM berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang yang wajar terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung dakwaan palsu tersebut.

Dalam masa sama, SKMM turut menegaskan ia memandang serius sebarang penyalahgunaan media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai menerusi penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu didapati melanggar undang-undang sedia ada,” kata SKMM lagi.

Pada 6 April lalu, kes saman fitnah difailkan Fahmi terhadap Papagomo pada 5 September 2023 berhubung dakwaan kononnya menteri itu menyampaikan ceramah politik di Masjid Nurul Yaqin, Kuang, Rawang, Selangor diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian kes secara damai.

Mengikut writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 5 September 2023, Fahmi mendakwa Papagomo serta dua lagi defendan menyiarkan kata-kata fitnah mendakwanya menyalahgunakan masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Dua lagi defenden adalah pemilik Facebook ‘N13 Kuang’ Mohd Fauzan Madzlan dan pemimpin Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Fahmi turut mencapai penyelesaian dengan Fauzan manakala saman dengan Dusuki diteruskan.

BACA JUGA Harga minyak bukan main ‘on-off’, ramai masih keliru, ini penjelasannya