Presiden Iran tegaskan pendirian, seru rakyat AS tolak naratif perang
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengeluarkan surat terbuka kepada rakyat Amerika Syarikat, menggesa mereka menilai semula konflik semasa dan tidak terpengaruh dengan naratif yang menurutnya mengarah kepada peperangan.
Surat tersebut diterbitkan menjelang ucapan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan mencetuskan perbincangan meluas di ruang awam termasuk seruan kepada demonstrasi di beberapa lokasi di negara itu.
Dalam surat berkenaan, Pezeshkian menegaskan bahawa Iran merupakan antara tamadun tertua dunia dan dalam sejarah moden tidak pernah memulakan peperangan.
Beliau berkata Iran sebaliknya hanya mempertahankan diri daripada tekanan serta serangan luar yang berterusan.
“Rakyat Iran tidak menyimpan permusuhan terhadap mana-mana bangsa lain, termasuk rakyat Amerika. Kami membezakan antara kerajaan dan rakyatnya,” katanya.
Menurutnya, gambaran Iran sebagai ancaman tidak selari dengan realiti sejarah, sebaliknya terbentuk daripada kepentingan politik dan ekonomi kuasa besar.
Pezeshkian turut mendakwa kehadiran ketenteraan Amerika Syarikat di sekitar Iran menjadi antara faktor yang meningkatkan ketegangan di rantau tersebut.
Beliau merujuk kepada peristiwa Rampasan kuasa Iran 1953 sebagai titik perubahan hubungan dua hala yang menjejaskan kepercayaan terhadap Washington.
Dalam surat itu, beliau turut menyenaraikan pelbagai tekanan yang dihadapi Iran termasuk sekatan ekonomi dan konflik serantau, namun menegaskan negara itu tetap mencapai kemajuan dalam pendidikan, teknologi dan kesihatan.
Pada masa sama, Pezeshkian mengakui kesan besar konflik terhadap rakyat Iran, termasuk kemusnahan infrastruktur dan tekanan terhadap kehidupan seharian.
“Apabila perang memusnahkan kehidupan dan masa depan, rakyat tidak akan berdiam diri terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pihak yang mendapat manfaat daripada konflik berterusan serta rasional di sebalik tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Pezeshkian berkata Iran telah memilih jalan rundingan dan mematuhi komitmen antarabangsa, namun mendakwa peningkatan konflik berpunca daripada tindakan pihak lain.
Menutup suratnya, beliau menyeru rakyat Amerika melihat melangkaui naratif sedia ada dan mempertimbangkan masa depan yang lebih stabil melalui kerjasama.
“Pilihan antara konfrontasi dan kerjasama akan menentukan masa depan generasi akan datang,” katanya.