Subsidi diesel guna MyKad? Kerajaan teliti perluas model MyKasih
Kerajaan sedang meneliti cadangan menggunakan sistem MyKasih dan MyKad bagi menyalurkan subsidi bersasar termasuk diesel, dalam usaha memperkemas agihan serta mengurangkan ketirisan.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata mekanisme itu masih di peringkat penelitian oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebelum dibawa untuk keputusan di peringkat Jemaah Menteri.
Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini susulan perbincangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang berlangsung sehari sebelumnya.
“Ini termasuk cadangan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan II mengenai pemanfaatan sistem MyKasih dan penggunaan MyKad bagi tujuan pemberian subsidi termasuk diesel untuk rakyat Malaysia,” katanya pada taklimat media di Putrajaya.
Cadangan itu sebelum ini dibangkitkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah Azizan yang menyatakan kerajaan sedang menilai kemungkinan memperluas penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi bersasar.
Langkah itu dilihat sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan program BUDI95 bagi petrol RON95, yang menggunakan pendekatan lebih tersasar dalam pemberian subsidi.
Menurut Amir Hamzah, penggunaan MyKad berpotensi memperkemas penyampaian bantuan serta mengurangkan risiko ketirisan, namun memerlukan penelitian rapi dari segi logistik dan kesiapsiagaan sistem di seluruh negara.
Beliau turut menyatakan pendekatan tersebut mampu mencapai matlamat penjimatan tanpa mengubah corak penggunaan bahan api rakyat secara mendadak.
Bagaimanapun, setakat ini kerajaan belum memuktamadkan mekanisme pelaksanaan, termasuk kaedah penggunaan MyKad di stesen minyak dan integrasi sistem dengan pangkalan data sedia ada.
Langkah memperluas penggunaan teknologi dalam subsidi ini juga dijangka mencetuskan persoalan berkaitan kesiapsiagaan infrastruktur serta akses di kawasan luar bandar.
Kerajaan sebelum ini berdepan cabaran ketirisan dalam sistem subsidi bahan api, yang mendorong kepada pelaksanaan pendekatan bersasar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Sebarang keputusan muktamad dijangka diumumkan selepas penelitian lanjut oleh Kementerian Kewangan dan kelulusan Jemaah Menteri.