Dari Bandar Pintar ke Bandar AI, PMX garis lonjakan strategik negara
Kerajaan menegaskan keperluan untuk Malaysia beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pendekatan lebih strategik melalui pembangunan Bandar AI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peralihan itu bukan sekadar melibatkan penerapan teknologi baharu.
Sebaliknya, kata beliau, menuntut transformasi menyeluruh dalam cara negara merancang, mentadbir dan mengurus bandar supaya lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data.
Menurutnya, ia adalah asas penting dalam usaha merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah Negara AI.
“Usaha ini memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat, infrastruktur digital berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan pelaksanaan model Bandar AI.
Mesyuarat tersebut turut bersetuju agar Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama, dengan kerjasama rapat semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan.
Tambahnya, Kerajaan juga komited untuk terus memperkukuh sinergi antara agensi bagi memastikan inisiatif tersebut memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara AI yang berdaya saing di peringkat global.
BACA JUGA Nak jimat bil elektrik? Ini rahsia skim ToU yang ramai dah guna