Ini sebabnya harga minyak terus naik walaupun Malaysia ada sumber sendiri
Biarpun Malaysia menghasilkan minyak sendiri, namun pengeluaran domestik hanyalah sekitar 350,000 tong sehari, tidak cukup untuk menampung penggunaan harian sebanyak 700,000 tong sehari.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kira kira 60 peratus minyak Malaysia diimport dari Asia Barat, dengan sekitar 40 peratus kilang penapisan dalam negara bergantung kepada laluan Selat Hormuz
“Bagi Malaysia walaupun kita menghasilkan minyak sendiri, pengeluaran minyak domestik hanyalah sekitar 350,000 tong sehari. Sedangkan penggunaan harian sebanyak 700,000 sehari.
“Oleh sebab itu, Malaysia masih perlu mengimport minyak,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, konflik di Asia Barat telah menyebabkan kos penghantaran dan insurans logistik naik berlipat kali ganda dengan kos logistik perkapalan naik tiga kali ganda, manakala harga insurans logistik pula melonjak sehingga 16 kali ganda.
Ia sekali gus mendorong kepada kenaikan harga minyak dalam negara.
“Bukan itu sahaja, setiap pembelian turut dikenakan premium berganda kerana permintaan amat tinggi dan bekalan makin rendah.
“Kesemua kos ini dimasukkan ke dalam harga akhir yang dibayar oleh pengimport iaitu actual delivered price, harga sebenar produk Malaysia yang tiba di sini,” jelasnya.
Beliau berkata, faktor bekalan rendah, permintaan tinggi, ancaman keselamatan, kenaikan kos penghantaran dan kenaikan insurans berlipat kali ganda, menjadi penyumbang kepada harga akhir RON95 dan diesel yang naik mendadak di seluruh dunia termasuklah negara-negara di seluruh Asia Tenggara.
BACA JUGA ADUN Pas pertahan Hadi Awang, dakwa minyak Malaysia tak lalu Selat Hormuz