Jangan terkeliru naratif Pas dalam isu harga minyak, Faiz kritik Akmal
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil membidas Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh kerana dilihat lebih cenderung menggemakan hujah pembangkang berbanding mempertahankan dasar kerajaan sendiri dalam isu harga minyak.
Beliau berkata, sebagai anggota parti yang berada di dalam kerajaan Madani, Akmal seharusnya mempertahankan usaha kerajaan menstabilkan ekonomi dan tidak seharusnya dikelirukan oleh pemimpin Pas yang sengaja menunggang isu minyak ini untuk kepentingan politik.
Faiz merujuk kepada kenyataan terbaru Akmal Saleh yang senada dengan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang membangkitkan persoalan mengapa Thailand baru-baru ini dapat menurunkan harga petrol dan diesel, tetapi tidak Malaysia.
Hakikatnya kata Faiz, kerajaan Thailand telah mendapati formula penetapan harga sebelum ini mungkin lebih tinggi daripada kos sebenar, khususnya melibatkan caj pengangkutan dan insurans yang dimasukkan dalam pengiraan harga minyak borong.
“Fakta ini gagal disemak pembangkang dan oleh itu semak imbang tidak lagi berfungsi kerana nafsu untuk menunggang isu minyak ini disaluti dengan auta dan emosi.
“Ironinya, perbezaan harga minyak yang ketara di antara Malaysia dan Thailand tidak pula diambil kira oleh ahli-ahli politik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menyentuh mengenai tindakan Presiden Pas mempersoalkan harga diesel yang lebih rendah di Sabah dan Sarawak, yang menunjukkan beliau tidak memahami geoekonomi di Malaysia Timur.
Geografi di Sabah dan Sarawak luas dan sukar serta infrastruktur jalan raya yang terhad menjadikan kenderaan berkuasa diesel, khususnya pacuan empat roda, satu keperluan berbanding di Semenanjung Malaysia.
Tanpa subsidi diesel, sosioekonomi rakyat di rantau ini akan terjejas teruk dan kos sara hidup akan melambung tinggi.
Atas dasar ini katanya, subsidi diesel kepada golongan penggerak ekonomi penting seperti nelayan terus dipertahankan pada harga asal RM1.65 seliter dengan jumlah kuota 70 juta liter sebulan, apatah lagi sebahagian rakyat dilindungi melalui dasar BUDI.
“aya percaya bahawa Kerajaan Madani sedang berusaha keras meneruskan disiplin fiskal dan pada masa yang sama, mengekalkan subsidi untuk rakyat.
“Malah, sejak tercetusnya krisis Asia Barat, Kerajaan Madani tidak mengapungkan sepenuhnya harga pam diesel, sebaliknya terus menyerap sebahagian kos sebenar pasaran selama lima minggu berturut-turut,” ujarnya.