MHO dedah keganasan Along semakin ganas, rumah mangsa diserang dan dibakar

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Datuk Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung MHO mengenai keganasan terbuka di kawasan kediaman rumah mangsa diserang berulang kali, cat dibaling, api dilempar, keselamatan keluarga terus diancam di Pejabat MHO, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 10hb April 2026 (Jumaat)

KUALA LUMPUR, 10 April 2026 (Jumaat) — Setiausaha Agung Malaysian Humanitarian Organization (MHO), Hishamuddin Hashim hari ini mendedahkan peningkatan serius keganasan terbuka oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along) yang kini bertindak lebih agresif dan terancang terhadap mangsa.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di pejabat MHO di Megan Avenue 1, beliau menegaskan bahawa kes-kes keganasan melibatkan along tidak lagi boleh dianggap sebagai jenayah kecil atau bersifat komersial semata-mata.

“Rumah mangsa diserang berulang kali, cat dibaling, api dilempar. Ini bukan lagi ugutan biasa tetapi satu bentuk keganasan yang mengancam keselamatan keluarga,” katanya.

Menurut beliau, MHO sebelum ini banyak memberi tumpuan kepada isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia di negara seperti Kemboja, Laos dan Myanmar. Namun sejak 2025, organisasi itu menggerakkan kempen khusus untuk membongkar kezaliman sindiket along dalam negara.

Hishamuddin berkata, sindiket tersebut sebenarnya merupakan jenayah terancang yang beroperasi secara sistematik dan bukan sekadar pemberi pinjaman haram biasa.

“Persoalannya, berapa banyak pula kes yang tidak dibuka kertas siasatan? Ini yang membimbangkan,” ujarnya.

Tambah beliau, persepsi masyarakat yang sering menyalahkan mangsa sebagai tamak atau cuai perlu diubah kerana hakikatnya mereka adalah individu yang telah diperdaya sindiket penipuan.

Dalam sidang media sama, MHO turut berkongsi kisah tragis sebuah keluarga apabila seorang mangsa dipercayai tertekan akibat gangguan along sehingga bertindak membunuh diri, namun ahli keluarga yang ditinggalkan masih terus diganggu.

Bagi membendung masalah ini, MHO mencadangkan agar kes-kes melibatkan along disiasat di bawah peruntukan jenayah terancang seperti Seksyen 130V Kanun Keseksaan, bukannya hanya di bawah kategori jenayah komersial.

Sebagai pendedahan, MHO turut memperkenalkan salah seorang mangsa, Puan Syamsiah, yang mendakwa terjerat dengan pinjaman online selepas terlibat dalam pelaburan. Beliau meminjam sekitar SGD400, namun jumlah tuntutan meningkat sehingga mencecah SGD1,000 akibat caj dan tekanan berterusan daripada sindiket.

MHO menegaskan akan terus memperjuangkan nasib mangsa serta mendesak tindakan lebih tegas diambil bagi mengekang keganasan sindiket along yang semakin membimbangkan.