Polis berjaya lumpuhkan sindiket e-waste haram, rampasan cecah RM582 juta
Pihak polis berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram dengan nilai rampasan dan sitaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM582 juta.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail berkata, operasi bersepadu Op Hazard 3.0 yang dilaksanakan dalam skala besar itu bukan sahaja mencatatkan kejayaan dari segi tangkapan, malah memberi tekanan hebat kepada pemain industri haram yang dikesan mengeksploitasi kelompongan perundangan sebelum ini.
Beliau memaklumkan setakat ini sebanyak 110 serbuan telah dilaksanakan di seluruh negara dan hasil pemeriksaan mendapati 42 premis yang diserbu merupakan kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa e-waste secara tidak sah.
Hasilnya, sebanyak 223 kertas siasatan telah dibuka, dengan 868 individu telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 515 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 16 hingga 70 tahun,” katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Tindakan kali ini lebih menyeluruh dengan penglibatan unit pencegahan pengubahan wang haram bagi memastikan rantaian kewangan sindiket diputuskan sepenuhnya.
BACA JUGA Sah enam kapal Malaysia bawa bekalan minyak selamat berlepas dari Selat Hormuz